Saturday, December 15, 2018

Pertahankan Bersama : Permulaan

Tahun 1991.

Walaupun baru berusia enam tahun, Hassan berjalan kaki seorang diri ke sekolah pada hari kedua. Hanya hari pertama persekolahan sahaja Hassan ke sekolah ditemani ibunya. Sampai sahaja di Sekolah Tadika Kemas, Hassan terus tanggalkan kasut sebelum memasuki kelas.

Setelah sebulan memasuki alam persekolahan, berlaku permusuhan antara Hassan dan Azman. Farisha selalu berbual dan bermain dengan Hassan sejak dari hari kedua persekolahan. Dalam banyak-banyak perempuan dalam kelas, Farisha merupakan budak perempuan kulit cerah yang paling cantik.

Bermula dengan ejek-mengejek dari Azman. Ditambah pula dengan dua orang kawan sekepalanya iaitu Rafi dan Fairuz juga turut serta mengejek Hassan. Semakin hari semakin sakit hati Hassan diejek setiap kali dia berbual atau bermain dengan Farisha di sekolah.

Pertama kali bergaduh, Hassan berjaya menumbuk dan menendang Azman sehingga menangis. Pergaduhan antara Hassan dan Azman berjaya dileraikan apabila Cikgu Zainab masuk campur. Dengan berat hati Hassan bersalaman dengan Azman setelah ditegur oleh Cikgu Zainab.

Pada hari berikutnya Hassan pula menangis apabila Azman, Rafi dan Fairuz baling batu ke arahnya sewaktu balik dari sekolah. Emak Hassan yang dalam perjalanan ke kedai runcit ternampak anaknya menangis apabila direjam batu.

"Hoi, budak kurang ajar!"

Emak Hassan berjalan laju ke arah Hassan yang sedang menangis. Muka Puan Zaleha masam mencuka melihat ketiga-tiga budak jahat yang menyakiti anaknya. Hassan pula masih menangis sambil memegang belakang kepalanya yang sakit.

"Apsal kau bertiga baling batu kat dia? Kau bertiga ni anak siapa hah? Kurang ajar sangat nak baling batu kat anak aku!"

Emak Hassan bercekak pinggang melihat ke arah Azman, Rafi dan Fairuz yang melarikan diri. Tangisan Hassan semakin reda setelah melihat emaknya memarahi ketiga-tiga budak hodoh yang jahat itu.

Keesokan harinya emak Hassan memarahi Azman, Rafi dan Fairuz dalam kelas. Cikgu Zainab dan semua budak-budak tadika jadi saksi kemarahan Puan Zaleha.

"Orang pergi sekolah sebab nak belajar. Bukannya baling batu kat anak aku! Kau bertiga nak jadi bodoh ke nak jadi pandai?" Zaleha menyinga depan tiga budak yang masih mendiamkan diri.

"Jawablah, nak jadi bodoh atau pandai?!" Sergah Zaleha.

"Pandai.." Serentak dan perlahan sahaja jawapan dari Azman, Rafi dan Fairuz.

"Lain kali nak baling batu kat Hassan lagi tak?" Tanya Zaleha.

"Tak.." Sekali lagi jawapan serentak dari mereka bertiga.

"Kalau baling batu kat Hassan lagi makcik lempang kau bertiga, faham!" Gertak Zaleha.

"Faham.." Jawab mereka bertiga serentak.

"Azman, Rafi, Zainal.. Pergi salam minta maaf dengan Hassan sekarang." Tiba-tiba Cikgu Zainab mencelah.

Tanpa buang masa mereka bertiga terus hulur tangan dan minta maaf kepada Hassan secara bergilir. Zaleha terus datang menghampiri Cikgu Zainab.

"Tolong perhatikan anak saya kalau kena kacau lagi ya?" Pesan Zaleha kepada Cikgu Zainab

"Insha Allah nanti saya tolong tengok-tengokkan anak akak." Jawab Cikgu Zainab.

Setelah habis sesi bermaaf-maafan, Hassan salam dan cium tangan emaknya sebelum pergi ke tempat duduknya dalam kelas.

Selepas kejadian tersebut, Azman dan dua orang kawannya langsung tak bertegur dengan Hassan. Mengusik atau mengejek jauh sekali. Hassan pula seronok ke sekolah sebab dapat berbual dan bermain dengan Farisha tanpa gangguan dari mereka beetiga lagi.

Permainan yang paling Hassan dan Farisha suka ialah main tanah liat. Tanah liat tersebut dibentuk jadi rumah, kereta, bunga dan macam-macam lagi berdasarkan imaginasi budak 6 tahun. Pernah beberapa kali Azman tunjukkan motor tanah liat kepada Farisha tapi tak diendahkan.

"Isha tengoklah motor kita buat ni. Vroom... Vrooom!!" Azman berkata sambil menggerakkan motor tanah liatnya ke depan dan ke belakang.

Farisha menjeling ke arah Azman lalu memandang semula ke arah muka Hassan. Azman masih lagi tak berganjak. Motor tanah liat di tangannya terus digerakkan dengan bunyi "vroom vroom" dari mulutnya.

Setelah dua minggu kemudian berlalu, Farisha tetap tak layan Azman. Walaupun Azman dibantu oleh Rafi dan Fairuz untuk menarik perhatian Farisha tetapi cubaannya tetap gagal. Bersusun motor tanah liat berhampiran Farisha tetapi dia tetap nak bermain dengan Hassan juga.

Masuk minggu ketiga pada bulan Febuari, Farisha berlari ke arah Hassan yang sedang menyusun buku-buku cerita di rak buku. Hassan toleh lalu ternampak Farisha ketawa kecil sambil menyembunyikan kedua tangannya di belakang.

"Cuba teka kat belakang kita ada apa?" Tanya Farisha sambil tersenyum.

"Gula-gula?" Jawab Hassan yang kurang yakin.

"Salah..." Balas Farisha yang masih tersenyum.

"Coklat?" Jawab Hassan buat kali kedua yang masih kurang yakin.

"Coklat apa?" Tanya Farisha.

"Koko Jelly." Jawab Hassan dengan yakin.

"Bukan." Kata Farisha sambil geleng kepala.

"Cloud 9!" Kata Hassan dengan lebih yakin.

"Betul." Jawab Farisha sambil ketawa kecil.

"Kita ada empat bungkus ni. Awak dua kita dua." Kata Farisha sambil menghulurkan dua bungkus coklat Cloud 9 kepada Hassan.

"Terima kasih." Kata Hassan sambil mengambilnya dari tangan Farisha.

"Hei, kita bagi awak je! Kenapa awak bagi Hassan?" Tiba-tiba Azman muncul.

"Eh, biarlah kita nak bagi dia!" Marah Farisha.

"Mana boleh. Kita bagi Cloud 9 kat awak je." Kata Azman yang tidak mahu mengalah.

"Eleh, biarlah!" Kata Farisha sambil berjalan menghampiri Hassan.

"Bagi balik Cloud 9 tu!" Kata Azman sambil menghulurkan tangannya.

"Mana boleh minta balik? Mak kita kata siapa dah bagi lepas tu minta balik namanya buruk siku." Kata Farisha yang kini berdiri sebelah kiri Hassan.

"Mana ada buruk siku? Kita mandi sebelum pergi sekolah tau. Siku kita tak buruk pun." Kata Azman sambil menunjukkan kedua-dua sikunya ke arah Farisha.

"Budak buruk siku." Kata Farisha sambil jelirkan lidah.

"Kenapa dia buruk siku?" Tiba-tiba seorang budak perempuan kurus berkulit sawo matang bertanya.

"Tengok Azman ni Sofea. Dah bagi coklat kat kita lepas tu dia mintak balik." Jawab Farisha sambil menudingkan jari ke arah Azman.

"Eeeii.. Tak malu.. Dah bagi mintak balik." Respon Sofea sambil melihat ke arah Azman.

"Budak buruk siku!" Jerit Hassan.

"Buruk siku!" Sahut Farisha sambil tuding jari ke arah Azman.

"Azman buruk siku!" Tambah Sofea.

Tak semena-mena satu kelas ikut jerit buruk siku. Azman cuba menafikan tetapi satu kelas tetap bergema dengan jeritan "Buruk siku." Mata Azman berair cuba menahan dari menangis.

Azman berlari ke arah Rafi dan Fairuz. Rafi dan Fairuz pun bukannya dapat buat apa-apa untuk mempertahankan Azman.

"Hei, apa jerit-jerit buruk siku ni?" Tinggi suara Cikgu Zainab sambil mencekak pinggang.

Satu kelas terdiam. Cikgu Zainab masih lagi berdiri cekak pinggang memerhatikan setiap wajah budak-budak dalam kelas.

"Cikgu tadi Azman bagi kita coklat lepas tu dia nak minta balik. Mak kita kata orang macam tu namanya buruk siku." Aduan dari Farisha bagi menjelaskan keadaan sebenar.

"Azman, betul ke awak bagi coklat kat Farisha lepas tu minta balik?" Tanya Cikgu Zainab.

Azman hanya angguk kepala tanpa berkata apa-apa. Cikgu Zainab mengeluh kecil sambil geleng kepala.

"Azman, lain kali kalau dah bagi jangan minta balik. Faham?" Tegur Cikgu Zainab.

"Faham.." Jawab Azman.

"Lain kali saya tak nak dengar jerit-jerit buruk siku lagi. Faham semua?" Kata Cikgu Zainab terhadap semua budak-budak dalam kelas.

"Faham cikgu!" Serentak jawapan mereka.

Setelah habis waktu sekolah, Hassan tak sabar nak balik rumah. Hassan rasa teruja sangat nak ceritakan kejadian tersebut kepada emaknya.

"Setakat coklat macam tu pun nak minta balik. Mak buat kek coklat lagi sedap tau! Nanti mak buat, esok Hassan boleh kongsi dengan kawan-kawan." Respon Zaleha selepas mendengar cerita dari anaknya.

"Yeaaahhh!" Hassan menjerit keriangan.

Pada hari berikutnya, Hassan bawa sekotak kek coklat yang telah dipotong-potong kecil. Seperti yang disuruh emaknya, Hassan berkongsi kek coklat tersebut dengan Farisha, Sofea dan beberapa orang kawan yang sempat mengambilnya.

"Sedapnya kek coklat ni." Kata Farisha selepas menggigit sedikit kek tersebut.

"Beli kat mana ni?" Tanya Sofea.

"Mana ada beli. Mak kita yang buat kek coklat ni." Jawab Hassan.

"Pandainya mak awak buat kek coklat." Kata Farisha sambil tersenyum lebar.

"Kek coklat ada lagi?" Tiba-tiba budak lelaki gempal tanya.

"Dah habislah Nazim." Jawab Hassan.

"Bukan awak dah amik ke tadi?" Tanya Farisha pula.

"Memang dah amik tapi nak lagi. Sedaplah kek coklat tak puas makan." Jawab Nazim sambil tepuk perlahan bahu kanan Hassan.

Selepas tamat waktu sekolah, Hassan tak sabar nak balik rumah. Hatinya betul-betul teruja nak ceritakan pasal kek coklat emaknya dipuji kawan-kawan.

"Kan mak dah kata. Kek coklat mak buat memang sedap." Respon Zaleha selepas mendengar cerita anaknya.

"Esok mak boleh buat lagi?" Tanya Hassan.

"Boleh je mak buat selagi mak sihat, selagi bahan-bahan cukup." Jawab Zaleha.

"Yeaaayyyyy!" Hassan menjerit keriangan sambil berlari masuk bilik.

Walaupun kek coklat amat digemari Hassan dan kawan-kawannya tetapi bukan setiap hari Hassan dapat bawa ke sekolah. Ada masa tertentu bahan-bahan kek coklat  di rumah habis jadi Hassan makan sahajalah hidangan yang disediakan pihak sekolah tadika.

Pada awal bulan September 1991, Cikgu Zainab bagi surat kepada semua budak-budak dalam kelas.

"Balik rumah nanti bagi surat tu pada mak atau ayah kamu." Kata Cikgu Zainab.

"Surat apa ni cikgu?" Tanya Nazim sambil angkat tangan kanannya.

"Surat minta kebenaran untuk bawa kamu semua ke Pulau Tioman bulan depan." Jawab Cikgu Zainab.

"Yeaaayyyy!!"

Bergema satu kelas dengan sorak gembira budak-budak umur enam tahun. Cikgu Zainab hanya tersenyum melihat reaksi semua murid-muridnya. Malah ada yang terloncat-loncat dan berlari keliling kelas.

"Baiklah semua jangan bising!" Suara Cikgu Zainab tiba-tiba jadi tegas.

Terdiam satu kelas kecuali Azman yang masih berlari main kejar-kejar dengan Rafi dan Fairuz.

"Azman, Rafi, Fairuz!" Kata Cikgu Zainab sambil mencekak pinggang.

Mereka bertiga masih lagi berlari main kejar-kejar.

"Kamu bertiga tak nak pergi Pulau Tioman ke?" Tanya Cikgu Zainab.

"Nak." Jawab mereka lalu berhenti berlari.

"Kalau nak ikut, kamu jangan nakal-nakal faham?" Pesan Cikgu Zainab.

"Faham cikgu." Jawab mereka serentak.

Setelah tamat waktu persekolahan, Hassan balik rumah ditemani Farisha. Jarak rumah Farisha dengan rumah Hassan tidaklah begitu jauh. Selang 6 buah rumah sahaja.

"Isha, awak nak pergi Pulau Tioman ke?" Tanya Hassan.

"Mestilah nak." Jawab Farisha sambil tersenyum.

"Nanti kita boleh main buat istana guna pasir." Sambung Farisha lagi.

"Mesti best kan? Nanti kita buat istana besar-besar ya?" Kata Hassan pula.

"Mestilah kita buat besar-besar lepas tu kita tanam awak dalam pasir." Kata Farisha sambil ketawa kecil.

"Buat apa tanam? Kita belum mati lagilah."

"Tak matilah awak. Kepala awak kat luar, badan awak je kena tanam."

"Best ke main tanam-tanam?"

"Mestilah best."

Sedang mereka berdua jalan beriringan, tiba-tiba datang seorang pakcik. Seorang lelaki bermisai tebal, berkulit coklat, baju t-shirt berkolar belang-belang hitam biru dan memakai seluar jean biru lusuh.

"Adik nak gula-gula tak?" Tanya pakcik misai tebal sambil menghulurkan gula-gula Sugus warna kundang.

Farisha baru nak ambil tetapi tangannya ditahan oleh Hassan.

"Mak kita kata jangan amik gula-gula dari orang tak kenal." Kata Hassan.

"Pakcik kenal mak kau." Kata pakcik tersebut sambil tersengih.

"Siapa nama mak kita?" Tanya Hassan.

"Tak payah tanyalah, pakcik kenal mak kau berdua. Mak kau berdua orang sini jugak kan?" Jawab pakcik tersebut.

"Pakcik tak tahu nama mak kita. Jomlah kita pergi." Kata Hassan sambil menarik tangan Farisha.

Hassan dan Farisha berjalan sepantas mungkin untuk menjauhkan diri dari pakcik tersebut.

"Hei, tunggu dulu!" Kata pakcik tersebut sambil berjalan menghampiri mereka.

"Lari Isha!" Jerit Hassan.

Farisha pun lari ikut belakang Hassan. Mereka berhenti lari setelah sampai depan rumah Hassan. Hassan melihat-lihat untuk memastikan pakcik tersebut tidak mengejar mereka.

"Hassan, tengok-tengok apa tu?" Tanya Zaleha.

"Mak tadi ada pakcik jahat nak bagi gula-gula Sugus." Jawab Hassan.

"Pakcik jahat? Kat mana Hassan jumpa dia?" Tanya emaknya lagi.

"Kat sana tu." Jawab Hassan sambil tunjukkan arah kepada emaknya.

"Masa Hassan tanya pakcik tu nama mak, dia tak dapat jawab. Terus Hassan dengan Isha lari." Sambung Hassan.

"Bagus, lain kali kalau ada orang tak kenal nak bagi gula-gula ke, air kotak ke, apa-apa ke.. Jangan amik tau? Lari je." Balas Zaleha.

"Ye mak, nanti kita lari je macam tadi." Jawab Hassan dengan penuh semangat.

"Hassan, kita balik dulu tau." Tiba-tiba Farisha mencelah.

"Ok, nanti esok kita jumpa lagi." Kata Hassan sambil melambaikan tangan.

"Baik-baik jalan nak." Tegur Zaleha terhadap Farisha.

Pada pertengahan bulan Oktober 1991, Hassan ikut rombongan sekolah ke Pulau Tioman. Hassan ditemani oleh kedua ibu bapanya. Begitu juga dengan Farisha dan beberapa budak yang lain.

Ada yang datang dengan ibu atau ayahnya sahaja. Ada yang tak dapat datang tapi Hassan tak ambil peduli sangat. Perkara yang paling penting bagi Hassan buat masa ini ialah dapat buat istana pasir dengan Farisha.

Perjalanan dari Johor Bahru ke Jeti Mersing mengambil masa kira-kira tiga jam. Cikgu Zainab dan murid-murid sekolah tadika serta ibu bapa terpaksa tunggu hampir satu jam sebelum dapat naik feri ke Pulau Tioman. Dalam masa satu jam menunggu, setiap orang diberikan roti sandwich telur dan air kotak oleh Cikgu Zainab dan dua orang pembantunya.

Menaiki feri ke Pulau Tioman pula mengambil masa hampir dua jam. Setelah sampai di tempat penginapan, makanan telah dihidangkan. Semua pengunjung yang kelaparan betul-betul menikmati hidangan tersebut tanpa banyak kerenah.

Bermalam di chalet adalah pengalaman yang menarik bagi Hassan. Pertama kali Hassan menikmati juadah udang dan sotong panggang dalam hidupnya.

"Kalau harapkan abang, tak tahulah bila baru kita dapat bercuti Pulau Tioman ni." Kata Zulkifli.

"Janji kita dapat bercuti kat sini bang." Kata Zaleha pula.

"Mak, best kan dapat pergi sini?" Tiba-tiba Hassan mencelah.

"Best Hassan." Jawab Zaleha ringkas.

"Lagi best kalau Hassan dapat adik lepas ni." Kata Zulkifli sambil tersengih.

"Ish, apalah abang ni!" Suara Zaleha seolah berbisik tapi tegas.

"Dapat adik?" Tanya Hassan terpinga-pinga.

Belum sempat emak dan ayah Hassan menjawab tiba-tiba Farisha datang.

"Hassan, nak main bunga api tak?" Tanya Farisha.

"Nak!" Jawab Hassan keriangan.

"Mak ayah! Hassan nak pergi main bunga api boleh?" Tanya Hassan yang sudah pun berdiri sebelah kanan Farisha.

"Boleh tapi jangan main mercun tau?" Pesan Zaleha.

"Kalau mak dengan ayah takde kat sini nanti Hassan balik chalet sendiri ya? Ingat tak ayah dah ikat kain hijau kat tiang chalet petang tadi?" Pesan Zulkifli pula.

"Ya, Hassan ingat ayah. Nanti Hassan balik sendiri je." Jawab Hassan.

Tanpa buang masa, Hassan dan Farisha berjalan menuju ke arah tepi pantai. Dari cahaya bunga api, Hassan dapat lihat Nazim dan Sofea sedang asyik bermain bunga api.

"Hassan! Isha! Ayah kita bawa banyak bunga api!" Kata Nazim sambil menghayunkan tangan kanannya yang sedang memegang bunga api.

Setelah jam menunjukkan hampir 11.00 malam, ayah Nazim suruh sambung main bunga api esok sahaja. Maka tamatlah sesi main bunga api pada malam pertama Hassan dan kawan-kawannya di Pulau Tioman.












No comments:

Post a Comment

Pertahankan Bersama Bab 5

2004 Sewaktu Hassan di dalam perpustakaan, dia ternampak Farisha dan Zaidi duduk berdua-duaan. Walaupun terasa cemburu tetapi Hassan cuba...