Sunday, March 24, 2019

Pertahankan Bersama : Bab 4

Tahun 2004.

"Malam ni kita main game puas-puas sebab esok aku dah nak balik hostel." Kata Hassan.

"Cepatnya nak balik?" Tanya Norman.

"Tak terasa kan masa berlalu?" Balas Hassan pula.

Norman terus pasang DVD Dynasty Warriors 4 di konsol Playstation 2.

"Bang Hassan baliklah minggu depan." Kata Norman sambil memegang controller PS2.

"Tunggulah cuti semester akan datang nanti aku baliklah lagi." Kata Hassan yang baru nak ambil controller PS2.

Mereka berdua main game berjam-jam lamanya. Setelah main game Dynasty Warriors 4, mereka main game Teenage Mutant Ninja Turtles pula. Game terakhir sebelum mereka tidur ialah Fifa 2003.

Pada keesokan hari jam 9.30 pagi, Hassan dihantar oleh ayahnya ke Larkin. Emak dan adiknya juga ikut sekali dalam satu kereta.

"Tiket bas jangan lupa ya?" Pesan Zulkifli.

"Dah ada dalam poket ni." Jawab Hassan.

Setelah sampai di Stesen Bas Larkin, Hassan salam dan mencium kedua tangan ibu bapanya. Norman pula salam dan cium tangan Hassan.

"Kalau ada apa-apa hal nanti call mak ya." Pesan Zaleha.

"Insha Allah mak." Kata Hassan sambil mengangkat beg.

Setelah ibu bapa Hassan termasuk adiknya masuk kereta, Hassan mula terasa sebak. Hassan perhatikan kereta Proton Wira warna merah milik ayahnya bergerak perlahan meninggalkan Stesen Bas Larkin. Dalam bas, Hassan memerhatikan jika ada Farisha.

Nak sms dia ke tak? Aku tak menganggu ke kalau sms dia sekarang? Kenapalah aku asyik nak sms dia sedangkan dia dah couple dengan Zahid.

Fikiran Hassan agak celaru sekarang. Handphone masih dipegang tapi Hassan masih tidak pasti sama ada perlu sms Farisha atau tidak.

Daripada susah-susah fikir nak sms ke tak, baik aku main game snake je.

Hassan cuba melupakan Farisha dengan bermain game snake di handphone Nokia 3310 miliknya. Makin lama main, makin laju jari-jemari Hassan menekan butang-butang handphone. Namun, Hassan tetap kecundang dalam permainan tersebut.

Setelah satu jam perjalanan, Hassan mula terfikir nak sms Farisha. Ditenung lama-lama handphone di tangan kirinya.

Kalau setakat sms tak salah kan? Bukannya nak susahkan dia pun. Hantar je lah satu sms kat Isha!

Hassan menurut kata hatinya lalu menekan-nekan butang handphone.

"Salam, isha dh nek bas ke?"

Lima minit kemudian, handphone Hassan bergegar tanpa sebarang nada dering.

"Salam, blm nek bas lg. Aku bru smpi Larkin."

"Knp blk lmbt isha? Klu aku tau, aku bole blikan tkt bas. Kita bole sama2 nek bas."

"Xpe aku dh nk nek bas ni."

"Ok isha nnt kita jmpa kat puduraya. Kita sama2 blk hostel."

"X pyh tggu aku. Nnt aku dgn kwn aku je."

"Kwn ke bf? Zahid ke?"

Setelah sepuluh minit menunggu masih tiada balasan sms dari Farisha. Hassan dah mula risau sekiranya sms tadi telah menyebabkan Farisha marah.

"Oklah isha apa2 hal nnt bgtau je aku. Take k isha."

Hassan terus simpan handphone di dalam poket seluarnya. Secara spontan tangan kanan Hassan menutup mulutnya yang menguap. Hassan teringat semalam dia tidur lewat sebab main game PS2 dengan adiknya sampai jam 4.30 pagi.

Hassan tidur dalam sepanjang perjalanannya ke Puduraya. Setelah beberapa jam kemudian, Hassan buka mata. Tahu-tahu bas yang dinaiki Hassan dah berhenti.

Hassan gosok muka dengan kedua-dua tapak tangannya. Kemudian dia bangun dari tempat duduknya dan terpaksa beratur sebelum dapat turun dari bas. Dengan segera Hassan cari teksi sebab beg yang dibawa terasa amat berat.

Setelah menaiki teksi, handphone dalam poket seluar Hassan bergegar. Cepat-cepat Hassan keluarkan handphone tersebut.

"Ko blk lmbt lg ke?"

Hassan tersengih baca sms dari rakan sebiliknya. Tangannya terus menekan-nekan butang handphone untuk membalas sms tersebut.

"Apsal? Dah rindu ke?"

"Gila x rndu. Ko bkn blk hri ni ke?

"Aku on the way ni. Jap g smpila."

"Klu mcm tu aku tgu ko. Jap g kita ngeteh skali dgn amin n shuib."

"Ok."

Hassan simpan semula hanphone ke dalam poket. Belum sampai seminit handphone tersebut disimpan, Hassan dah keluarkannya semula. Hassan terus menekan beberapa butang pada hanphone di tangannya sekarang.

"Salam isha, aku da smpai ni. Isha kat mana skrg?"

Setelah lima minit sms tersebut dihantar, Hassan masih belum menerima sebarang jawapan dari Farisha. Hassan tetap sabar menunggu.

Tunggu punya tunggu teksi yang dinaiki Hassan dah sampai hostel. Setelah membayar tambang teksi, Hassan angkat keluar begnya yang dirasakan lebih berat dari beras 10 kilogram. Namun, Hassan lebih sanggup pikul beg yang tiga kali ganda lebih berat dari sekarang berbanding tiada balasan sms dari Farisha.

"Assalamualaikum."

"Wa alaikumussalam. Tunggu apa lagi? Jemputlah masuk tambah nasi." Jawab Johan sambil melawak.

"Mana nasi? Aku dah lapar ni." Kata Hassan sambil membawa masuk begnya yang berat.

"Nasi kat kedailah. Ko tunggu jap aku pergi panggil dorang." Balas Johan pula.

Setelah Amin dan Shuib dipanggil oleh Johan, Hassan pun keluar dari bilik. Mereka berempat menuju ke foodcourt yang berhampiran dengan hostel mereka. Setelah mereka membuat pesanan makanan dan minuman masing-masing, Amin memulakan perbualan.

"Apa cerita Hassan?" Tanya Amin sebagai mukaddimah.

"Cerita apa kau nak?" Tanya Hassan pula.

"Cerita drama melayulah haha." Jawab Amin sambil tergelak sedikit.

"Kalau kau maksudkan aku dengan Isha, dia macam tak nak layan aku sangatlah." Kata Hassan.

"Aku sms dia pun lambat balas. Kadang-kadang tak balas langsung." Sambung Hassan lagi.

"Kau cari yang lain je lah Hassan." Cadang Johan.

"Kalau kau dapat awek baru nanti confirm kau boleh lupakan Isha." Kata Shuib pula.

"Entahlah.. Sampai sekarang aku susah nak lupakan dia." Kata Hassan.

"Takpe, nanti ada jugak awek kat sini yang nak couple dengan kau. Relaxlah Hassan." Kata Johan sambil tepuk perlahan bahu Hassan.

"Aku tengok awek senior pun cantik-cantik sini." Kata Shuib pula.

"Ok kawan-kawan tengok tu air kita dah sampai." Kata Amin sambil tersenyum.

Selepas Hassan menyedut air teh ais dengan straw warna belang-belang, dia berpaling ke arah Amin.

"Awek kau Shila sebilik dengan Isha kan?" Tanya Hassan.

"Ya, kenapa?" Tanya Amin pula.

"Takkan dia takde bagitau kau apa-apa pasal Isha?" Tanya Hassan lagi.

"Ada jugak dia bagitau aku sikit-sikit pasal Isha. Dia kata Isha anggap kau macam abang je dari sekolah dulu." Jawab Amin.

Tiba-tiba Hassan teringat zaman sekolah menengahnya. Memang Farisha ada dua ke tiga kali bagitahu untuk tidak meneruskan hubungan melainkan sebagai kawan atau abang sahaja. Namun, Hassan sendiri yang cuba pertahankan hubungan cintanya dengan Farisha.

Di antara perbualan yang Hassan teringat ialah dia pernah menyuruh Farisha bagi peluang untuk pertahankan cinta.

"Isha, bagilah peluang untuk saya pertahankan cinta ni."

"Tapi saya rasa baik awak cari perempuan yang lebih baik dari saya. Kita kawan je lah Hassan. Lagipun saya lagi selesa anggap awak macam abang je."

"Anggap saya macam abang je? Isha, dah lama kita bercinta tapi kenapa tiba-tiba awak berubah?"

"Mungkin jodoh kita sampai sini je? Kita masih boleh berkawan kan?"

"Awak tak suka saya selalu berbual dengan Shima ke?"

"Mana ada."

"Shima tu penolong kelas je. Kawan gitu-gitu je."

"Itu saya tahu."

"Habis tu? Awak dah tak suka saya sebab suka budak laki lain ke?"

"Entahlah, saya rasa baik kita berkawan je."

"Bagitau saya mana satu budak laki yang awak berkenan sangat tu."

"Ish, sudahlah!"

"Ok macam ni, awak bagi saya peluang sampai sambung study. Kalau awak ada lelaki yang awak berkenan masa tu, saya tak kacau awak lagi."

"Apa-apa je lah."

"Nanti kita sama-sama sambung study tau. Janji tau?"

"Yelah, saya memang nak sambung study lepas SPM."

"Kira awak dah janjilah tu. Kita couple dari sekolah sampai sambung study tau?"

Walaupun Hassan tiba-tiba teringat perbualan tersebut tetapi hatinya tetap mencintai Farisha. Hassan sedar yang Farisha dah mula anggap dirinya sebagai kawan atau abang sahaja sejak tingkatan lima. Namun, sukar untuk Hassan terima bahawa hubungan cintanya dengan Farisha terhenti selepas menyambung pelajaran di universiti.

"Hoi, jauhnya melayang!" Tegur Johan.

"Dah sampai bulan agaknya." Kata Shuib pula.

Hassan tiba-tiba terasa malu ditegur sedemikian rupa. Disedutnya air teh ais kemudian tersengih.

"Kau masih nak Isha jugak ke?" Tanya Amin.

"Baik kau lupakan je Isha tu. Cari je awek lain." Tiba-tiba Johan bersuara sebelum Hassan sempat menjawab.

"Kalau aku jadi kau, dah lama aku cari awek lain." Tambah Shuib pula.

"Entahlah, aku asyik teringatkan dia je." Kata Hassan.

"Okay geng, makanan dah sampai." Kata Johan sewaktu pelayan meletakkan dua pinggan nasi goreng USA di atas meja.

Hassan terus menarik sepinggan nasi goreng USA ke arahnya. Diikuti pula oleh Amin. Tak sampai seminit, nasi pattaya dan kuey teow basah pula tiba.

"Nasi empat tayar aku dah sampai." Johan cuba melawak.

"Dahsyatnya kau boleh makan empat tayar." Kata Shuib bergurau.

"Kau tengok tu Shuib, dorang makan nasi goreng USA diam-diam je." Kata Johan sambil muncungkan bibirnya.

"Baru makan nasi goreng USA dah sombong." Usik Shuib.

"Well, this fried rice USA is delicious. I think you should eat the food quiet-quiet." Kata Amin disertai dengan gelak ketawa.

"Quiet-quiet ye?" Tanya Shuib lalu tergelak.

Hassan pun ikut ketawa setelah melihat mereka bertiga tergelak besar.

"Peh, makan nasi goreng USA terus cakap orang putih!" Kata Johan setelah ketawanya reda.

"Kalau makan nasi goreng cina, cakap cinalah tu." Kata Shuib sambil tersengih.

Setelah selesai makan, minum dan bayar, Hassan dan tiga rakannya beredar. Dalam perjalanan pulang ke hostel mereka tidak banyak bercakap. Hanya kedengaran bunyi tapak selipar mereka dan suara Johan menyanyi lagu Sejati dari kumpulan Wings.

Sampai sahaja di bilik, Hassan terus mengeluarkan telefon bimbitnya. Hassan mula menekan butang-butang di telefon bimbit tersebut.

"Nak sms Ishalah tu." Tegur Johan.

Hassan tidak hiraukan teguran Johan. Matanya tertumpu pada ayat-ayat yang telah ditaip pada telefon bimbitnya.

"Salam, isha da mkn ke? X nmpk kat foodcourt pun."

Lima minit kemudian, telefon bimbit Hassan berbunyi.

"Salam, aku dgn kwn2 mkn dlm blk je."

"Msk dlm blk ke isha?"

"Xla kwn aku ni bwk nasi dgn lauk byk."

"Bestnye aku pn nk mkn."

"Da hbslah."

"Ok len kalilah aku nk mkn dgn ko. Aku blnja nk?"

Lima minit berlalu tanpa balasan mesej dari Farisha. Hassan mula terfikir adakah salah niatnya untuk belanja Farisha makan.

Sepuluh minit telah berlalu tetapi masih tiada mesej balas dari Farisha. Hassan letak telefon bimbitnya di bawah bantal.

Hassan cukup masak dengan keadaan seperti ini. Bukan pertama kali Farisha tak balas mesejnya. Namun di sudut hati Hassan masih berharap Farisha tetap balas mesejnya walaupun lambat satu jam.

"Jom layan movie." Pelawa Johan.

"Movie apa?" Tanya Hassan.

"The Matrix Reloaded." Jawab Johan.

"Ok pasanglah." Kata Hassan pula.

"Aku nak panggil Amin dengan Shuib dulu." Kata Johan lalu keluar dari biliknya.

Kira-kira tiga minit kemudian, Johan masuk bilik diikuti oleh Amin dan Shuib. Mereka berdua siap bawa kerusi dari bilik sendiri. Setelah Johan pasang CD "The Matrix Reloaded", Shuib tutup suis lampu bilik.

"Barulah terasa macam tengok wayang." Kata Amin yang menyokong tindakan Shuib.

Sepanjang menonton cerita "The Matrix Reloaded", Hassan masih teringatkan Farisha. Penghayatannya kurang terhadap cerita tersebut kecuali pada babak-babak aksi berlawan sahaja. Hassan mula terbayang betapa hebat seandainya dia ada kelebihan seperti Neo watak utama dalam cerita tersebut.

Buat apa aku ada kelebihan elak peluru? Apa kaitan elak peluru dengan Isha? Hassan sendiri tak dapat jawab persoalan yang muncul dalam kepalanya sekarang.

Setelah tamat cerita " The Matrix Reloaded", Amin dan Shuib berdiri mengeliatkan badan mereka. Hassan juga turut mengeliat lalu baring di atas katil bujang.

"Kalau ada movie lagi bagitau kitorang tau." Kata Shuib.

"No problem." Jawab Johan.

"Okaylah kitorang gerak dulu." Kata Amin pula.

"Esok jumpa kat kelas." Balas Johan.

Shuib dan Amin melangkah keluar bilik sambil membawa kerusi mereka. Johan terus tutup dan kunci pintu setelah mereka keluar dari bilik. Hassan pula melihat telefon bimbitnya jika ada sebarang mesej dari Farisha.

Hassan dah dapat agak memang Farisha takkan balas mesejnya tadi. Namun di sudut kecil hatinya masih mengharapkan balasan mesej dari Farisha walaupun pukul 3 atau 4 pagi nanti. Setelah menyimpan telefon bimbitnya di bawah bantal, Hassan pejamkan mata.

Cubalah aku boleh lupakan Isha kan senang. Masalahnya aku asyik teringatkan dia setiap hari. Cis, kenapa aku asyik teringatkan dia je!

Hassan cuba menghentikan hatinya dari terus berbicara sendirian dengan membaca surah al-Fatihah. Dibacanya perlahan seolah-olah sedang berbisik supaya tak mengganggu Johan yang sedang berdengkur. Diikuti dengan bacaan surah Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas.

Tiba-tiba mata Hassan terasa berat sangat. Belum sempat baca ayat Kursi tiga kali, Hassan dah tertidur.

Pertahankan Bersama Bab 5

2004 Sewaktu Hassan di dalam perpustakaan, dia ternampak Farisha dan Zaidi duduk berdua-duaan. Walaupun terasa cemburu tetapi Hassan cuba...