Saturday, April 13, 2019

Pertahankan Bersama Bab 5

2004

Sewaktu Hassan di dalam perpustakaan, dia ternampak Farisha dan Zaidi duduk berdua-duaan. Walaupun terasa cemburu tetapi Hassan cuba buat seolah-olah mereka tak wujud.

"Kau nampak dorang kat sana tu?" Tanya Johan.

"Aku nampak tapi biar lantaklah dorang tu." Jawab Hassan menahan marah.

"Mana Amin? Bukan nak study group sama-sama ke?" Hassan cuba tukar topik.

"Amin nak study group dengan awek dia hari ni." Jawab Shuib.

"Mana dia? Tak nampak pun?" Tanya Hassan.

"Entahlah, mungkin kejap lagi dorang sampai." Jawab Shuib.

"Kalau sampai pun aku rasa nanti dorang cari tempat duduk lain." Kata Johan pula.

Hassan tak nak tanya apa-apa lagi. Masalah perasaannya terhadap Farisha telah mengganggu dirinya untuk lebih tumpukan perhatian dalam pelajaran. Namun, Hassan tetap nekad untuk berjaya dalam pengajiannya di UPM.

Buat apa aku nak ingat Isha lebih-lebih? Baik aku jadi ulat buku je. Study kaw-kaw punya nanti dapat kerja gaji besar boleh tolong mak ayah aku.

Hati Hassan mula berbicara untuk menaikkan semangatnya untuk belajar.

"Rajinnya kau study.." Suara berbisik dari belakang Hassan.

Hassan dongak sedikit dan menoleh ke belakang lalu ternampak Amin tersengih.

"Bukan kau nak study dengan awek kau ke?" Tanya Hassan.

"Memanglah tapi kitorang nak study dengan korang jugak." Jawab Amin.

Setelah Amin duduk, Shila juga duduk di sebelahnya. Hassan tahu pasal Shila pun sebab dah lama berkawan dengan Amin sejak masuk UPM. Tak sampai dua bulan  di UPM, Amin dan Shila telah menjadi pasangan kekasih.

Setelah lebih satu jam berada di perpustakaan, Johan mengeliat dalam keadaan duduk.

"Aku laparlah, jom makan." Kata Johan.

"Aku pun lapar jugak ni." Kata Shuib.

"Okay, jomlah kita pergi makan dulu." Kata Amin pula.

Tanpa buang masa lagi Hassan, Johan, Shuib, Amin dan Shila mula bersiap untuk keluar dari perpustakaan. Sebelum keluar dari perpustakaan, mata Hassan melilau mencari Farisha. Jangankan Farisha, bayang dia pun tidak kelihatan.

Hassan mula tertanya-tanya di dalam hatinya.

Mana Isha? Tadi ada je. Awalnya keluar?

Ish, kenapalah aku asyik nak cari dia je! Asyik aku je teringatkan dia. Bukannya dia ingat nak cari aku pun.

Hassan cuba hentikan dirinya dari terus memikirkan pasal Farisha. Dikeluarkan telefon bimbit dari poket seluarnya. Hassan tenung telefon bimbitnya beberapa saat kemudian teragak-agak membuat keputusan sama ada mahu sms Farisha atau tidak.

"Hari ni nak makan kat mana?" Tanya Johan yang berada di depan Hassan.

"Mana-mana je lah, aku ikut korang je." Jawab Hassan sambil menyimpan semula telefon bimbitnya ke dalam poket seluar.

"Apa kata kita cari makan kat luar?" Cadang Amin.

"Kat mana?" Tanya Johan.

"Adalah...rojak dengan cendol baik punya!" Jawab Amin.

Hassan hanya menurut sahaja hala tuju rakan-rakannya. Lagi pun sudah lama Hassan tidak menikmati rojak dan cendol.

Sewaktu di warung cendol dan rojak, Hassan tak banyak bercakap. Hassan hanya tersenyum sahaja apabila Johan dan Shuib buat lawak. Sepanjang masa menikmati cendol dan rojak, Hassan tak dapat lupakan betapa cemburunya dia melihat Farisha duduk sebelah Zaidi di perpustakaan tadi.

Pada sebelah malam di hostel pula, Hassan seperti biasa baring sambil melihat telefon bimbitnya. Hassan masih teragak-agak nak sms Farisha. Walaupun sudah menyedari pelajaran lebih utama tetapi Farisha tetap mempunyai tempat di hatinya.

"Carilah awek baru." Tegur Johan.

"Yelah nanti aku carilah." Jawab Hassan.

Hassan simpan telefon bimbit di bawah bantal. Dipejamkan matanya walaupun masih belum nak tidur.

"Awalnya nak tidur?" Tanya Johan.

"Dah pukul 10 Johan.. Tidurlah." Jawab Hassan.

"Relaxlah.. Baru pukul 10 belum pukul 12." Kata Johan.

"Tak lama lagi nak exam. Jangan exam nanti kau terbangun lambat pulak." Balas Hassan.

"Nanti pandai-pandailah aku adjust waktu tidur aku." Balas Johan pula.

"Suka hati engkaulah Johan." Kata Hassan.

Hassan keluarkan semula telefon bimbit dari bawah bantalnya. Kemudian dimasukkan semula telefon tersebut di bawah bantalnya.

Aahh! Aku tak nak sms dia lagi! Baik aku fokus untuk exam je.

Hati Hassan terseksa setiap kali teringatkan Farisha. Walaupun sukar tetapi Hassan nekad untuk melupakan Farisha buat selama-lamanya. Pengajiannya di UPM perlu dihabiskan dengan sebaik-baiknya.

2007

Hassan duduk atas kerusi di Stesen Bas Seremban sambil memegang tiket bas dan telefon bimbitnya. Hassan lega setelah melihat jam di telefon bimbitnya menunjukkan setengah jam lebih awal dari waktu tiket bas ke Johor. Hassan simpan semula telefon bimbit dan tiket bas ke dalam poket seluarnya.

Hassan tiba-tiba teringat pertama kali naik KTM (Keretapi Tanah Melayu) dari Serdang ke Seremban diajar oleh Amin. Pada ketika itu Amin mencadangkan Hassan untuk menaiki bas dari Seremban supaya lebih cepat sampai ke Johor.

Selain itu, Hassan juga teringat zaman pahit manis kehidupannya sebagai seorang pelajar sudah tamat. Walaupun tidak berjaya mendapat kekasih di UPM, tetapi banyak juga kenangan manis Hassan sepanjang pengajiannya di UPM.

"Hai, sini kosong ke?" Tiba-tiba ada suara seorang perempuan menegurnya.

Hassan mendongak sedikit untuk melihat perempuan tersebut. Tiba-tiba Hassan rasa seperti pernah melihat perempuan tersebut tetapi tidak ingat di mana.

"Eh, awak bukan student UPM ke?" Tanya perempuan tersebut ceria.

"Mana awak tahu?" Tanya Hassan pula.

"Saya selalu nampak awak pakai kad student UPM kat warung cendol." Jawab perempuan tersebut sambil duduk di sebelah beg pakaian Hassan.

"Oh, patutlah rasa macam pernah tengok awak sebelum ni. Awak anak tauke cendol ke?" Kata Hassan tersenyum.

"Taklah, warung cendol tu pakcik saya punya. Saya part time je kat sana." Kata perempuan tersebut pula.

"Awak pun student UPM ke?" Tanya Hassan untuk mendapatkan kepastian.

"Saya bukan student lagi tapi ex-student UPM." Jawab perempuan tersebut.

"Awak nak balik mana?" Tanya Hassan.

"Saya balik Johor." Jawab perempuan tersebut.

"Johor kat mana?" Tanya Hassan lagi.

"Taman Daya." Ringkas jawapan perempuan tersebut.

"Saya pun duduk Taman Daya. Awak duduk jalan apa?" Tanya Hassan buat kesekian kalinya.

"Kenapa? Nak hantar rombongan meminang ke?" Balas perempuan tersebut dengan pertanyaan.

"Takdelah, saya cuma tanya je.." Jawab Hassan.

"Nama kita pun tak tahu, terus nak tahu alamat rumah pulak." Usik perempuan tersebut.

"Okaylah nama awak siapa?" Tanya Hassan.

"Nama saya Amira, nama awak pulak?" Kata Amira.

"Saya Hassan... Sekarang saya boleh tanya alamat rumah awak pulak?" Tanya Hassan mengusik.

"Saya duduk kat Jalan Rumbia." Jawab Amira sambil tergelak sedikit.

"Oh.. Tak jauhlah dari rumah saya. Saya duduk kat Jalan Bertam." Kata Hassan.

Tiba-tiba kedengaran bunyi nada dering telefon. Hassan pasti bukan telefon bimbitnya yang berbunyi kerana tiada getaran dalam poket seluarnya.

"Kejap ye." Kata Amira sambil mengeluarkan telefon bimbitnya.

Hassan perhatikan telefon bimbit yang dipegang oleh Amira ialah Nokia 3310. Sama seperti telefon bimbit milik Hassan cuma berbeza dari segi warna sahaja. Telefon bimbit Hassan berwarna biru gelap manakala Amira punya warna kelabu.

Kira-kira dua minit kemudian, Amira menyimpan semula telefon bimbitnya.

"Bf call?" Tanya Hassan.

"Ha ah.." Jawab Amira sambil tersenyum.

Hassan pun tersenyum sebab tidak tahu nak tanya apa lagi. Perbualan rancak terhenti beberapa saat.

"Ayah sayalah yang call." Kata Amira.

"Oh ya ke?" Tanya Hassan.

"Ye... Saya mana ada boyfriend." Jawab Amira.

"Bohonglah orang cantik takde bf." Kata Hassan.

"Mana ada saya cantik.. Biasa-biasa je." Kata Amira pula.

Hassan diam tak tahu nak tanya apa lagi dah. Tiba-tiba Hassan berdiri.

"Amira, tolong jagakan bag saya jap nak ke toiletlah." Kata Hassan.

"Okay.." Kata Amira pula.

Hassan bergegas mencari tandas. Sambil melangkah pantas mencari tandas, Hassan teringat pagi tadi dia, Johan, Amin dan Shuib makan nasi lemak sambal lebih. Perutnya sekarang betul-betul sakit namun sempat juga Hassan masuk ke tandas untuk melepaskan hajatnya.

Setelah 20 minit, Hassan keluar dari tandas dan bergegas pula mencari tempat duduknya. Hassan risau sekiranya bas ke Johor sudah sampai sewaktu dia buang air besar tadi.

Hassan berasa lega setelah melihat beg pakaiannya masih berada di sebelah Amira. Dikeluarkan tiket bas dari poket seluarnya.

"Bas belum sampai lagi ke?" Tanya Hassan.

"Belum lagi kot.." Jawab Amira.

"Eh, tu dorang dah pergi dekat sana!" Kata Hassan.

"Bas baru sampailah tu." Kata Amira sambil berdiri mengangkat beg pakaiannya.

Tanpa buang masa, Hassan pun mengangkat beg pakaiannya lalu menuju ke arah bas Transnasional yang baru tiba. Hassan berjalan ke arah bas tersebut dan diikuti pula oleh Amira. Setelah menyimpan bag di bonet bas, Hassan menaiki bas lalu mencari nombor tempat duduknya.

Setelah menjumpai tempat duduk, Hassan cepat-cepat duduk di bahagaian tepi tingkap. Amira pula duduk di sebelahnya.

"Eh, awak duduk sini ke?" Tanya Hassan.

"Kenapa? Tak boleh ke?" Balas Amira.

"Eh, boleh! Boleh je." Jawab Hassan sambil tersenyum.

Perjalanan bas yang dinaiki Hassan dari Seremban ke Johor mengambil masa tiga jam lebih. Sepanjang perjalanan, Hassan kurang bercakap dengan Amira disebabkan mengantuk. Pejam celik tahu-tahu dah sampai di Terminal Larkin, Johor Bahru.

Setelah Hassan turun dari bas, dia mengambil beg pakaian dari bonet bas tersebut. Setelah Hassan melangkah beberapa tapak, dia berhenti seketika lalu menoleh ke belakang.

"Boleh minta nombor telefon awak tak Mira?" Tanya Hassan.

"Nak buat apa?" Tanya Amira kembali.

"Mana tahu kalau ada apa-apa hal ke nanti boleh sms je." Jawab Hassan secara spontan.

"Bagi saya handphone awak jap." Kata Amira.

Hassan hulurkan telefon bimbitnya kepada Amira. Amira menekan-nekan beberapa butang pada telefon bimbit Hassan sebelum memulangkannya semula.

"Jangan share nombor saya dengan orang lain tau." Kata Amira.

"Ok saya takkan bagi kat orang lain." Kata Hassan.

"Awak balik naik teksi ke? Kita boleh.." Kata Hassan terhenti apabila telefon bimbit Amira tiba-tiba berbunyi.

"Kejap ye." Kata Amira sambil mengangkat telefon bimbitnya.

Hassan mendiamkan diri sambil melihat keadaan sekeliling Terminal Larkin. Macam-macam bangsa ke hulu ke hilir. Ada yang bawa beg dan ada juga yang berlenggang sahaja.

Ada juga sepasang orang putih pikul beg besar. Hassan yang mempunyai ketinggian 179 sentimeter merasakan orang putih tidaklah setinggi mana. Tidak tinggi seperti yang digembar-gemburkan oleh ibu bapa dan cikgunya sewaktu dia sekolah rendah dulu.

"Hassan, jom balik dengan saya." Pelawa Amira.

"Okay, jomlah." Kata Hassan pula.

Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Memang niat asal Hassan nak balik dengan Amira supaya boleh jimat duit tambang teksi. Selain itu, Hassan mula terfikir jika Amira boleh menggantikan tempat Farisha dalam hatinya.

Hassan terus berjalan mengikuti Farisha menuju ke arah sebuah kereta teksi. Ada seorang pakcik keluar dari teksi tersebut lalu melambai tangan ke arah Hassan dan Farisha.

"Ayah dah lama tunggu ke?" Tanya Amira lalu bersalam dan mencium tangan ayahnya.

Hassan pun turut bersalam dan mencium tangan ayah Amira.

"Ayah, ini Hassan. Budak UPM jugak macam Mira." Kata Amira memperkenalkan Hassan.

"Ayah kenal dia ni. Selalu jugak naik teksi dengan ayah." Kata ayah Amira sambil tersenyum.

"Eh, jomlah naik! Beg masuk dalam bonet dulu." Kata ayah Amira sambil membuka bonet teksinya.

Sebelum menyimpan beg pakaiannya, Hassan perhatikan ada nama Mazlan bin Hamdan di pintu teksi ayah Amira. Baru Hassan sedar rupa-rupanya teksi yang pernah dinaikinya beberapa kali sebelum ini milik ayah Amira.

Setelah menyimpan beg di dalam bonet, Amira terus masuk dan duduk depan. Manakala Hassan duduk di belakang. Mazlan pula terus menghidupkan enjin teksinya sebelum bergerak meninggalkan Terminal Larkin.

"Ayah lama ke tunggu tadi?" Tanya Amira.

"Tak lamalah, baru sampai tadi tu." Jawab Mazlan.

"Ya ke? Bukan tadi ayah keluar makan dengan Makcik Nora si janda tu?" Tanya Amira lagi.

"Ish, budak ni! Mana ada ayah keluar dengan dia tadi." Jawab Mazlan.

Amira tergelak mendengar jawapan ayahnya. Hassan pun ikut tergelak walaupun tidak kenal janda bernama Nora.

"Bukan selalu ke janda tu naik teksi ayah?" Tanya Amira mengusik.

"Itu dulu, sekarang dia dah ada kereta." Jawab Mazlan.

"Ya ke? Sejak bila pulak dia beli kereta?" Tanya Amira.

"Adalah tiga bulan ke empat bulan lepas dia dah beli kereta." Kata Mazlan.

"Hassan, Mira ni memang kuat bergurau." Tambah Mazlan lagi.

"Oh, ya ke pakcik? Baru saya tahu." Kata Hassan tersenyum.

"Bergurau kan tanda sayang.. Betul tak ayah?" Tanya Amira.

"Apa? Mira sayang Hassan?" Tanya Mazlan kembali.

"Ish, ayah ni..mana ada." Jawab Amira.

Mazlan tergelak selepas mendengar jawapan Amira. Hassan hanya tersenyum sahaja. Di sudut kecil hati Hassan mengharapkan Amira menjawab ya.

Setelah mengharungi beberapa tiang lampu isyarat, teksi yang dinaiki Hassan telah tiba di depan rumahnya.

"Berapa, pakcik?" Tanya Hassan berkenaan tambang teksi.

"Hari ni tak payah bayarlah Hassan. Pakcik belanja." Jawab Mazlan.

"Terima kasih banyak-banyak pakcik." Kata Hassan teruja.

Setelah Hassan mengambil beg pakaiannya, Mazlan menutup bonet teksinya. Hassan bersalam dan mencium tangan Mazlan sambil tangan kirinya memegang beg pakaian.

"Terima kasih ya pakcik." Ucap Hassan sambil berdiri di depan pagar rumahnya.

"Sama-sama." Jawab Mazlan lalu memasuki ke dalam teksi.

Hassan ternampak Amira melambaikan tangannya sambil tersenyum sebelum Mazlan menggerakkan teksi untuk meninggalkan rumahnya. Secara spontan, Hassan juga melambaikan tangan sambil tersenyum ke arah Amira.

Inilah kali pertama Hassan rasa paling gembira naik teksi 

Pertahankan Bersama Bab 5

2004 Sewaktu Hassan di dalam perpustakaan, dia ternampak Farisha dan Zaidi duduk berdua-duaan. Walaupun terasa cemburu tetapi Hassan cuba...