Tuesday, January 1, 2019

Pertahankan Bersama : Bab 3

Tahun 1991

Pada jam tujuh pagi, Hassan dan ibu bapanya dihidangkan sarapan kuih-muih dan minuman panas oleh pihak penginapan di Pulau Tioman. Setelah menikmati sarapan, Hassan tengok jadual aktiviti yang berada di tangan ayahnya.

"Tengok ni pukul lapan nanti Hassan kena berkumpul tau. Ada taklimat jap lagi." Kata Zulkifli sambil menunjukkan jadual aktiviti di Pulau Tioman.

"Taklimat tu apa ayah?" Tanya Hassan.

"Taklimat tu ucapanlah. Maknanya adalah perkara penting yang cikgu nak bagitahu nanti." Jelas Zulkifli.

Lagi 15 minit jam lapan, Hassan dan murid-murid lain diarah berkumpul di tepi pantai. Cikgu Zainab memberi ucapan ringkas mengenai aktiviti menarik dengan menggunakan pembesar suara.

Sebelum aktiviti bermula, pembahagian kumpulan perlu diuruskan terlebih dahulu. Nama murid-murid dipanggil satu demi satu oleh Cikgu Zainab untuk mendapatkan empat pasukan iaitu pasukan A, B, C dan D. Setiap pasukan terdiri daripada enam orang murid-murid.

Hassan, Farisha, Sofea, Nazim, Ramli dan Amelina merupakan ahli pasukan A. Hassan dah tak ambil peduli sangat pasal ahli-ahli pasukan lain asalkan dapat bersama Farisha dalam satu kumpulan.

"Acara pertama ialah bawa bola ping pong guna sudu." Kata Cikgu Zainab sambil menggunakan pembesar suara.

"Semua murid-murid ambil tempat masing-masing." Sambung Cikgu Zainab lagi.

Hassan dan semua murid-murid mengikut arahan dua orang perempuan belasan tahun merangkap pembantu Cikgu Zainab. Dari kiri bermula dengan pasukan A, B, C dan D. Kedua-dua pembantu tersebut menerangkan secara ringkas cara-cara bermain bawa bola ping pong guna sudu.

Setiap peserta diberikan satu sudu untuk permainan ini. Manakala hanya sebiji bola ping pong sahaja diberikan kepada setiap pasukan. Selepas habis menerangkan cara bermain, Cikgu Zainab datang.

"Kamu semua dah faham cara main?" Tanya Cikgu Zainab tanpa menggunakan pembesar suara.

"Faham cikgu!" Jawapan serentak dari semua para peserta sukaneka.

"Tunggu saya kira satu, dua, tiga dan tiup wisel baru mula, faham semua?" Tanya Cikgu Zainab lagi.

"Faham cikgu!" Jawab semua murid-murid tadika dengan penuh semangat.

Hassan dengan rela menjadi pemain pertama bawa bola ping pong guna sudu. Hassan masukkan hujung pemegang sudu di mulutnya. Kemudian diletakkan bola ping pong di kepala sudu.

"Sedia... Satu.. Dua... Tiga!"
Prreeeeeeeettttt!!!

Kiraan dan tiupan wisel dari Cikgu Zainab menandakan bermulanya acara sukaneka yang pertama.

Hassan terus berjalan pantas membawa bola ping pong ke arah kerusi yang kira-kira 30 meter dari garisan permulaan. Setelah berjaya berjalan mengelilingi kerusi tersebut dan patah balik, Farisha sambut bola ping pong dari Hassan. Giliran Farisha pula membawa bola ping pong tersebut.

Kedengaran suara ibu bapa dan penjaga masing-masing bersorak menyokong peserta-peserta sukaneka. Hassan dan empat ahli pasukannya berjaya menjalankan tugas masing-masing dengan pantas. Kini tinggal giliran Nazim sahaja.

Keadaan tidak menyebelahi pasukan A apabila Nazim terjatuh akibat tersadung kaki sendiri. Tergelak besar semua ibu bapa dan penjaga yang menyaksikan kejadian tersebut.

"Nazim cepat bangun!" Jerit Hassan.

"Cepat Nazim, cepat!" Teriak Farisha pula.

Kelam-kabut Nazim bangun dan sambung bawa bola ping pong guna sudu. Namun, pasukan B yang berjaya habiskan permainan ini terlebih dahulu. Diikuti dengan pasukan A, C dan D.

"Kalau Nazim tak jatuh mesti team kita nombor satu." Kata Hassan mengeluh.

"Baiklah semua pasukan, kita ada acara yang kedua." Kata Cikgu Zainab dengan menggunakan pembesar suara.

"Permainan kedua ialah acara pecah belon." Sambung Cikgu Zainab.

Setiap peserta diberikan satu belon oleh dua orang pembantu Cikgu Zainab. Setiap pasukan diberitahu untuk meniup belon sehingga pecah sebelum lari ke arah kerusi. Selepas mengelilingi kerusi dan patah balik barulah peserta seterusnya boleh tiup belon.

Tanpa buang masa, acara kedua dimulakan. Cuma kali ini, Hassan suruh Nazim jadi orang pertama tiup belon sampai pecah.

"Sedia... Satu... Dua... Tiga!"
Pprrreeeeeeettttt!!!

Kali ini kiraan dan tiupan wisel oleh Cikgu Zainab menandakan permulaan acara sukaneka kedua.

Riuh-rendah suara ibu bapa dan penjaga menjerit nama anak-anak jagaan mereka.

Setelah Nazim berjaya pecahkan belon, dia terus berlari ke arah kerusi.

"Cepat Nazim!!" Jerit Hassan.

"Nazim cepat!" Teriak Farisha pula.

Selepas Nazim berlari melepasi garisan permulaan, giliran Hassan pula tiup belon. Hassan tiup belon laju-laju sambil pejamkan mata. Setelah belon tersebut meletup, Hassan terus berlari dengan secepat mungkin.

Dalam acara pecah belon, pasukan A berjaya mendapat tempat pertama. Diikuti oleh pasukan B, C dan D. Terloncat-loncat Hassan dan ahli-ahli pasukan A.

"Minta perhatian semua pasukan.. Acara kita yang ketiga ialah buat istana pasir." Kata Cikgu Zainab dengan menggunakan pembesar suara.

"Istana pasir paling besar dan cantik akan dipilih sebagai pemenang, faham semua?" Kata Cikgu Zainab lagi.

"Faham cikgu!" Jawapan serentak dari semua ahli pasukan sukaneka.

"Kalau dah faham, saya nak kamu ambil tempat masing-masing sekarang." Arahan dari Cikgu Zainab.

Dua orang pembantu Cikgu Zainab menunjukkan tempat yang telah ditandakan dengan bendera kecil. Setiap bendera kecil itu ada huruf A, B, C dan D. Keempat-empat pasukan diarahkan berkumpul di kawasan bendera tersebut berdasarkan nama pasukan masing-masing.

Hassan nampak ada tiga baldi kecil berhampiran bendera bertanda huruf A. Keinginannya untuk membuat istana pasir bersama Farisha hampir tercapai.

"Semua pasukan dah berkumpul di bendera masing-masing?" Tanya Cikgu Zainab dengan menggunakan pembesar suara.

"Sudah cikgu!" Jawab semua ahli pasukan.

"Kamu diberi masa 40 minit untuk buat istana pasir, faham semua?"

"Faham cikgu!"

"Kamu semua dah sedia?"

"Sudah cikgu!"

"Satu.. Dua.. Tiga! Preeeeeettt!"

Dengan pantas Hassan ambil satu baldi kecil manakala lagi dua baldi kecil pula diambil oleh Nazim dan Sofea.

"Tak cukup baldilah Hassan." Rungut Farisha.

"Awak amiklah baldi ni. Kita buat sama-sama ya?" Cadang Hassan.

Farisha tertawa kecil lalu mengambil baldi tersebut dari Hassan. Mereka berdua sama-sama masukkan pasir ke dalam baldi kecil.

"Kita rasa baik kumpul pasir tinggi macam ni dulu." Kata Nazim sambil tunjuk paras pinggangnya.

"Nanti kita buat istana tinggi-tinggi." Sambung Nazim lagi.

"Ok jom sama-sama kumpul pasir ke tengah dulu." Kata Hassan pula.

Hassan dan semua ahli pasukannya bertungkus-lumus mengumpul pasir. Apabila pasir dah cukup tinggi hampir paras pinggang mereka, tiba-tiba Nazim berdiri atas pasir tinggi tersebut.

"Tengok ni kita jadi penari dangdut. Woohooo.." Kata Nazim sambil gelekkan pinggangnya.

Habis berderai ketawa Hassan dan empat ahli pasukannya melihat Nazim bergelek atas pasir tersebut.

"Ada lagi 20 minit. Cepat siapkan istana pasir kamu." Kata Cikgu Zainab memberi peringatan dengan menggunakan pembesar suara.

"Hei, awak turunlah!" Teriak Hassan sambil menolak Nazim.

Mujurlah Nazim tidak jatuh ditolak. Dengan pantas Nazim terus melompat dari pasir tinggi itu.

"Ada lagi 20 minit ni." Kata Hassan mengingatkan semua ahli pasukannya.

"Kita buat istana ni banyak tingkat lepas tu cucuk bendera A kat atas sekali." Cadang Farisha.

"Ok jomlah kita buat cepat-cepat." Kata Nazim pula.

Hassan dan semua ahlinya kini kembali serius untuk menyiapkan istana pasir. Setelah hampir siap, Farisha ambil bendera lalu diberikannya kepada Hassan.

"Awak letaklah bendera ni kat atas tu." Kata Farisha sambil menudingkan jari ke arah istana pasir.

"Eh, biarlah kita yang letak!" Tiba-tiba Nazim mencelah.

"Eleh, awak tu tahu gelek dangdut je!" Perli Farisha.

"Memang pun kita pandai gelek dangdut. Tengok ni!" Kata Nazim sambil  meletakkan kedua tangannya di atas kepala lalu menggelekkan pinggangnya.

"Awak nak jadi pondan ke Nazim?" Tegur Cikgu Zainab dari belakang Nazim tanpa pembesar suara.

Habis semua ahli pasukan A ketawa besar setelah mendengar teguran tersebut. Gelekan Nazim terus terhenti. Muka Nazim  pula menjadi kemerah-merahan akibat merasa malu selepas ditegur Cikgu Zainab.

"Ada lagi 5 minit tahu." Pesan Cikgu Zainab sebelum beredar.

Hassan cuba cucuk tiang bendera kecil bertanda A di istana pasir pada bahagian atas sekali. Dicucuknya dengan berhati-hati supaya tidak terlanggar bahagian tengah istana tersebut.

"Istana kita dah siap!" Jerit Hassan.

Hassan dan semua ahli pasukannya bersorak seolah-olah dah jadi pemenang.

"Kamu semua ada 10 saat lagi. 10.. 9.. 8.. 7.. 6.. 5.. 4.. 3.. 2.. 1.. Preeeeett!!" Tiupan wisel oleh Cikgu Zainab menandakan sudah tamat acara bina istana pasir.

Cikgu Zainab mengambil masa kira-kira lima minit untuk menilai setiap istana pasir. Selepas 20 minit memberi markah, Cikgu Zainab terus buat pengumuman.

"Saya akan sebut tempat keempat dulu.. Tempat keempat ialah pasukan C, tempat ketiga ialah pasukan D, tempat kedua ialah.." Kata-kata Cikgu Zainab tiba-tiba terhenti selama 5 saat..

"Tempat kedua ialah... Pasukan B. Ini bermakna tempat pertama ialah Pasukan A!" Kata Cikgu Zainab dengan penuh ceria.

Hassan dan ahli-ahli pasukannya melompat dan menjerit keriangan. Nazim pula terus menggelekkan pinggangnya tanda gembira.

"Baiklah kamu semua boleh berehat tapi jangan lupa acara keempat pukul 2.30 petang nanti. Acara keempat kita ialah tarik tali. Kamu akan dibantu oleh ayah atau penjaga kamu dalam acara seterusnya, faham?" Peringatan dari Cikgu Zainab sebelum waktu rehat.

"Faham cikgu!" Jawab semua ahli pasukan serentak.

Semua ahli pasukan berlari mendapatkan ibu bapa dan penjaga masing-masing. Manakala Hassan dan Farisha pula hanya berjalan perlahan-lahan.

"Pasukan kita menanglah Isha." Kata Hassan.

"Ha ah istana pasukan kita nampak paling tinggi kan?" Kata Farisha pula.

"Kita panggil ayah kita ambil gambar nak?" Cadang Hassan pula.

"Nak!" Jawab Farisha sambil tersenyum lebar.

Tanpa buang masa, Hassan dan Farisha terus berlari. Tak sampai tiga minit, Hassan berjaya mendapatkan ayahnya yang tidak jauh dari kawasan tepi pantai.

"Ayah, amik gambar kita kat istana tu." Kata Hassan sambil menunjukkan arah istana pasir pasukan A.

"Tak nak makan dulu ke?" Tanya Zulkifli sambil membelek-belek kamera yang digantung pada lehernya.

"Amik gambar dululah ayah." Hassan merayu.

"Amiklah gambar dulu bang, lepas tu baru makan." Kata Zaleha pula.

"Yelah yelah.. Jom amik gambar." Kata Zulkifli pula.

"Yeeeaaayyy!" Jerit Hassan sambil berlari.

Farisha turut ikut berlari ke arah istana pasir pasukan A. Setelah sampai, Zulkifli mengambil beberapa gambar Hassan dan Farisha di istana tersebut. Tidak ketinggalan gambar Zaleha, Hassan dan Farisha juga.

Setelah puas bergambar barulah mereka berempat pergi makan. Hassan terasa cukup berselera menikmati juadah yang dihidangkan oleh pihak penginapan di Pulau Tioman. Bertambah seronok apabila dapat makan bersama Farisha.

Ibu bapa Farisha dan ibu bapa Hassan pula makan berdekatan. Hassan dan Farisha asyik bercerita pasal kemenangan pasukan A.

"Belum menang lagi sebenarnya, kena tunggu acara tarik tali lepas ni." Kata Zulkifli kepada anaknya.

"Tarik tali pun boleh menang. Kita kan kuat." Kata Hassan pula.

"Mana ada kuat, ayah Isha lagi kuat. Cuba tengok tangan dia." Kata Zulkifli sambil  jari telunjukknya menunjuk ke arah lengan ayah Farisha.

Terdiam Hassan apabila melihat tangan ayah Farisha.

"Kalau nak jadi kuat, kena makan sayur." Kata Hamzah.

"Dengar tu Hassan, kena makan sayur." Kata Zulkifli menyokong saranan Hamzah.

Sebelum ini pun Hassan pernah diberitahu oleh Farisha bahawa tangan ayahnya besar sebab kerja sebagai pemandu lori.

"Kalau kita selalu bawak lori pun tangan kita jadi besar jugak. Tak payah makan sayur pun." Respon Hassan terhadap saranan dari Hamzah.

Tergelak Zulkifli dan Hamzah mendengar kata-kata Hassan. Keluarga Hassan dan Farisha terus makan dalam suasana ceria.

Sementara menunggu pukul 2.30 petang, ada yang berjalan-jalan dan berenang di tepian pantai. Tidak kurang juga yang mengambil gambar sebagai kenangan manis bercuti di Pulau Tioman.

Pada jam 2.30 petang, semua pasukan disertai bapa dan penjaga lelaki bersama mereka. Setelah cabutan undi dibuat oleh Cikgu Zainab, perlawanan pertama ialah Pasukan B lawan Pasukan D. Pasukan A dan Pasukan C pula hanya memerhati perlawanan pertama buat masa ini.

"Jangan tarik dulu, tunggu saya tiup wisel baru boleh tarik." Pesan Cikgu Zainab dengan menggunakan pembesar suara.

"Sedia... Satu.. Dua.. Tiga.. Prreeeeett!"

Pasukan B dengan mudah menarik tali hingga sebahagian dari ahli Pasukan D tersungkur.

"Bersiap-sedia untuk pusingan kedua pula." Kata Cikgu Zainab dengan pembesar suaranya.

Setelah Pasukan B dan Pasukan D bertukar tempat, barulah Cikgu Zainab mulakan kiraan.

"Sedia.. Satu.. Dua.. Tiga.. Preeeeeett!"

Sekali lagi Pasukan B dengan mudah mengalahkan Pasukan D. Kini tiba masanya untuk Pasukan A dan Pasukan C pula lawan tarik tali.

"Nanti masa tarik tali tu tarik kuat-kuat macam nak jatuhkan badan ke belakang." Pesan Hamzah kepada semua ahli pasukan A.

Nazim berdiri paling depan diikuti oleh Ramli, Hassan, Farisha, Sofea dan Amelina. Di belakang Amelina pula bermula dengan ayah Nazim, ayah Ramli, ayah Sofea, ayah Amelina, Zulkifli dan Hamzah.

"Sedia.. Satu.. Dua.. Tiga! Preeeettt!" Tanda pertandingan tarik tali antara Pasukan A dan Pasukan C bermula.

Tak sampai dua minit Pasukan A berjaya mengalahkan Pasukan C. Setelah bertukar tempat, sekali lagi Pasukan A menang sekaligus layak masuk pusingan akhir.

"Sebelum perlawanan akhir bermula, kita adakan perlawanan antara Pasukan C dan D dulu untuk dapatkan tempat ketiga dan keempat." Kata Cikgu Zainab dengan pembesar suaranya.

Tanpa buang masa, Pasukan C dan D ambil tempat masing-masing. Setelah wisel ditiup, kedua-dua pasukan kelihatan seimbang. Hampir 10 minit barulah Pasukan D berjaya mengalahkan Pasukan C.

Dalam pusingan kedua pula, Pasukan D berjaya mengalahkan Pasukan C sekali lagi. Kedua-dua ahli pasukan kelihatan sangat letih selepas perlawanan tarik tali tersebut.

Kini, perlawanan akhir yang ditunggu-tunggu telah tiba. Pesanan dari Hamzah masih sama iaitu tarik tali kuat-kuat sambil condongkan badan seolah-olah nak jatuhkan badan ke belakang.

Setelah Pasukan A dan B mengambil tempat masing-masing sambil memegang tali, Cikgu Zainab terus mulakan kiraan.

"Sedia.. Satu.. Dua.. Tiga! Preeeettt!"

Dalam perlawanan kali ini Hassan terasa agak mencabar. Sambil menarik tali dengan bersungguh-sungguh, Hassan terdengar suara Pasukan B menjerit "Satu dua tarik!"

Jeritan yang sama diulang berkali-kali sehingga Hassan dan ahli pasukannya dipaksa bergerak ke hadapan. Akibatnya Hassan, Nazim dan Ramli terlepas tali dari tangannya. Pasukan B bersorak kegembiraan walaupun baru menang pusingan pertama.

Pasukan A dan Pasukan B bertukar tempat sebelum pusingan seterusnya dimulakan.

"Mula-mula tahan je dulu. Bila saya jerit tarik, kita sama-sama tarik. Kalau semua tarik serentak baru boleh menang." Cadang Hamzah.

Tiada bantahan dari ahli Pasukan A. Setelah kedua-dua pasukan memegang tali di tempat masing-masing, Cikgu Zainab mulakan kiraannya.

"Sedia.. Satu.. Dua.. Tiga! Preeeettt!"

Hassan dan ahli pasukannya terus tarik sekuat hati.

"Tarikkk!" Jerit Hamzah.

"Tarik! Tarik! Tarik!" Jerit Hassan dan semua ahli Pasukan A.

Dalam perlawanan kali ini, Pasukan A berjaya memaksa Pasukan B bergerak ke depan sedikit.

"Tarikk!" Jerit Hamzah lagi.

Sekali lagi Hassan dan semua ahli Pasukan A tarik serentak. Sedikit demi sedikit Pasukan B berjaya ditarik oleh Pasukan A.

"Preeeeetttt!" Tiba-tiba Cikgu Zainab tiup wisel.

"Pasukan B kalah sebab dah terlebih dari garisan ni." Kata Cikgu Zainab sambil menunjukkan kaki Azman dan kaki Rafi melebihi garisan di hadapan Pasukan B.

"Yeaaayy kita menang!" Jerit Hassan.

Farisha, Sofea, Nazim, Ramli dan Amelina juga turut menjerit keriangan.

"Pusingan seterusnya adalah penentu siapa yang akan jadi juara tarik tali." Kata Cikgu Zainab dengan pembesar suaranya.

"Sila tukar tempat dulu." Sambung Cikgu Zainab lagi.

Hassan dan lima orang kawannya terdiam setelah mendengar kata-kata tersebut. Baru Hassan tersedar kena menang dua kali baru dikira pemenang. Keputusan sekarang adalah seri.

Setelah bertukar tempat, hati Hassan rasa berdebar-debar. Hassan berharap sangat boleh menang.

"Kalau kita tarik tali macam tadi takde masalah nak menang." Kata Hamzah.

"Nak menang tak?" Tanya Zulkifli.

"Nak!" Jawab Hassan.

"Saya tak dengar suara lain-lain. Nak menang tak?" Tanya Zulkifli lagi.

"Nak!" Jawab Hassan dan kawan-kawannya.

"Tak kuat pun suara. Nak menang tak?!!" Teriak Zulkifli.

"Naaakkkk!!!!" Serentak Hassan dan kawan-kawannya jerit.

"Lepas ni kita jadi juara!" Jerit Zulkifli memberi semangat.

"Yeeeaaaayyyy!!!" Hassan jerit sambil meloncat diikuti oleh kawan-kawannya.

Tiba-tiba Hassan rasa lebih bersemangat. Rasa takutnya bertukar kepada keinginan yang kuat untuk menang.

Setelah kedua-dua pasukan memegang tali di tempat masing-masing, Cikgu Zainab mulakan kiraan perlawanan penentu juara tarik tali.

"Sedia.. Satu.. Dua.. Tiga! Prreeeeettt!"

Kedua-dua pasukan menarik tali dengan bersungguh-sungguh. Masing-masing tidak mahu mengalah.

"Tarik!!" Jerit Hamzah.

Hassan dan semua ahli pasukannya tarik serentak.

"Tarik!!!" Jerit Hamzah lagi.

Sekali lagi Hassan dan ahli-ahli pasukannya tarik tali serentak. Hassan terasa semakin penat tetapi tetap berkeras nak tarik tali sekuat hatinya.

"Tarik!!!!!" Jerit Hamzah semakin kuat.

Tiba-tiba Hassan terasa susah sangat nak tarik.

"Tarik lagi!!!" Jerit Hamzah.

Pasukan A bertungkus-lumus menarik tali setiap kali mendengar jeritan dari Hamzah.

"Tarik! Tarik! Tarik!" Jerit setiap ahli Pasukan A sambil menarik tali sekuat hati.

"Prreeeeett!"
"Pasukan B dah terpijak lebih dari garisan ni." Kata Cikgu Zainab sambil menunjukkan kaki Azman yang melebihi garisan di hadapannya.

"Juara tarik tali ialah Pasukan A!" Kata Cikgu Zainab dengan penuh bersemangat.

"Yeeaaayyyy!" Jerit Hassan tanda gembira.

Semua ahli pasukan A turut menjerit riang ria setelah bergelar juara tarik tali.

Pada jam 5.30 petang, acara penyampaian hadiah diadakan. Juara keseluruhannya ialah Pasukan A. Tempat kedua ialah Pasukan B manakala tempat ketiga ialah D dan tempat terakhir ialah C. Pasukan A menerima hamper paling besar yang mengandungi banyak biskut dan jajan pelbagai perisa.

Percutian di Pulau Tioman merupakan kenangan yang sangat manis bagi Hassan. Kenangan manis bertambah manis disebabkan Farisha bukan sahaja bersama dengannya dalam satu pasukan malah sama-sama merasai kemenangan di Pulau Tioman.

Pertahankan Bersama Bab 5

2004 Sewaktu Hassan di dalam perpustakaan, dia ternampak Farisha dan Zaidi duduk berdua-duaan. Walaupun terasa cemburu tetapi Hassan cuba...