Monday, December 24, 2018

Pertahankan Bersama : Bab 2

"Bila ayah beli PS2?" Tanya Hassan.

"Baru tiga hari lepas." Jawab Norman.

"Kita main Tekken 4 dulu." Cadang Hassan.

"OK, kejap ye." Kata Norman sambil memasukkan DVD Tekken 4 ke dalam konsol PS2.

Selepas satu jam main game Tekken 4, Hassan suruh Norman pasang game Smackdown 4 pula. Norman menurut sahaja permintaan abang sulungnya.

Tiga jam kemudian, mata Hassan mula terasa berat. Beberapa kali Hassan menguap sebelum meletakkan controller PS2 atas lantai.

"Bang Hassan tak nak main lagi ke?" Tanya Norman.

"Aku mengantuklah." Jawab Hassan lalu berdiri.

"Jangan main lama sangat nanti kalau panas sangat rosak pulak PS2." Sambung Hassan sebelum berjalan masuk ke biliknya.

"Yelah kejap lagi aku tutuplah." Kata Norman sambil terus main game Smackdown 4.

Hassan rebahkan diri atas katil bujangnya. Tiba-tiba Hassan teringat Farisha. Hassan ambil handphone dan memegangnya seketika.

Kalau ikutkan hati nak je aku call dia sekarang. Dapat sms dia pun jadilah. Fikiran Hassan berbelah-bahagi sama ada perlu call atau sms Farisha sekarang.

Ah! Baik aku tidur je. Hassan simpan handphone bawah bantal. Kemudian dipejamkan matanya dengan harapan dapat lupakan Farisha buat seketika.

Setelah kira-kira empat jam Hassan tidur tiba-tiba terdengar bunyi pintu biliknya diketuk berulangkali.

Tok! Tok! Tok! Tok! Tok!

"Hassan! Norman! Bangun!" Suara Zulkifli memanggil.

Hassan bingkas bangun dan membuka pintu. Ayahnya sudah memakai ketayap, berpakaian baju melayu dan kain pelekat.

"Kejut Norman sekali kejap lagi kita pergi masjid sama-sama." Perintah Zulkifli.

Hassan tanpa bersuara terus menepuk dan menggerakkan bahu adiknya yang masih berdengkur.

"Norman cepat bangun!" Kata Hassan sambil terus menggoyang bahu adiknya berulangkali.

"Macam ni kalau nak kejut dia bangun." Kata Zulkifli sambil mendekati katil bujang Norman.

"Norman bangun!" Kejut Zulkifli sambil memicit dan menarik ibu jari kanan Norman beberapa kali.

Terkebil-kebil mata Norman lalu mengeliat.

"Cepat bangun, kita pergi masjid sekarang." Kata Zulkifli sebelum keluar bilik.

Setelah bersiap, Hassan dan Norman keluar rumah untuk ke masjid. Ayah mereka pula dah pergi ke masjid terlebih dahulu sebelum azan habis berkumandang. Dalam perjalanan ke masjid, Hassan tengok Sekolah Tabika yang terletak bersebelahan dengan masjid.

Tiba-tiba Hassan teringat kenangan manisnya di sekolah tersebut. Perasaan nostalgia telah menggamit hati Hassan sekarang. Namun, Hassan tetap bergegas ke masjid untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah.

Setelah menunaikan solat Subuh, Hassan dan Norman terus pulang ke rumah. Ayah mereka pula masih berada di masjid untuk sama-sama berzikir dan berdoa dengan Tok imam serta jemaah yang lain.

Sampai sahaja di rumah, Hassan dan Norman terus masuk bilik. Norman baring tak sampai lima minit dah tertidur. Hassan pula baring sambil melihat handphone.

Isha dah balik ke? Takkan nak duduk hostel lama-lama masa cuti? Fikiran Hassan dah mula melayang teringatkan Farisha.

Nak call dia ke? Entah-entah tengah tidur lagi agaknya. Hassan dah buat keputusan nak sms Farisha.

"Salam, Isha dh bgn ke? Bila nk blk jb?"

Mata Hassan tertumpu pada skrin handphone setelah menghantar sms kepada Farisha. Hassan berharap sangat Farisha membalas sms tersebut. Hassan tunggu punya tunggu sampai tertidur.

Apabila Hassan buka mata, jam di handphone menunjukkan sudah pukul 7.43 pagi. Hassan kecewa kerana tiada balasan sms dari Farisha. Hassan mengeluh kecil dan hatinya terus berkata-kata mempertikaikan keadaan sekarang.

Kalau aku ada kuasa boleh baca fikiran orang, aku nak baca fikiran Isha. Entah apa benda ada dalam kepala dia sekarang. Susah sangat ke nak balas sms aku?

Hidup ni bukan macam baca novel. Senang-senang je boleh baca kehidupan watak lelaki dan perempuan. Pembaca boleh tahu pasal kehidupan si lelaki atau perempuan dalam bab-bab tertentu sesebuah novel.

Masalah sekarang ni aku tak tahu Isha tengah buat apa sekarang. Novel tu cuma rekaan je. Ini realiti kehidupan, macam mana aku nak tahu keadaan Isha kalau dia sendiri tak ada depan mata aku dan bagitahu aku keadaan sebenar?

Hassan terus memandang siling dan termenung memikirkan kenapa Farisha tak nak layan dia lagi. Kusut kepala Hassan memikirkannya.

"Teteeet... Teteeeet!"

Tiba-tiba handphone di tangan Hassan berbunyi menandakan ada sms baru masuk. Hassan tersenyum sambil membaca sms tersebut.

"Salam, sory aku lmbt reply. Aku bru bgun ni. Tghari or ptg ni aku blk jb."

Alangkah gembiranya hati Hassan setelah menerima balasan sms dari Farisha. Tangannya terus laju menekan butang-butang pada handphone.

"Ko blk jb dgn sapa? Sorg je?"

"Xla, aku blk dgn kwn."

"Kwn ko yg mana satu? Satu bilk dgn ko ke?"

Minit berganti minit tapi masih belum ada balasan sms dari Farisha. Setelah sepuluh minit menunggu, Hassan hantar sms lagi sebagai penutup.

"Apa2 hal aku doakn ko slmt smpi jb. Take care isha.. Bye."

Tak sampai seminit, Hassan dapat balasan sms dari Farisha.

"K bye."

Hassan kecewa dengan balasan sms seperti itu. Setelah menyimpan handphone di bawah bantal, Hassan tengok adiknya sedang mengeliat. Perlahan-lahan adiknya bangkit dari tempat tidur.

Hassan bingkas bangun dan geletek adiknya. Norman cuba menahan tangan Hassan dari terus menggeleteknya.

"Jangan Bang Hassan aku nak terkencing!" Teriak Norman.

"Ish, pergilah tandas dulu!" Kata Hassan seraya berhenti menggeletek adiknya.

Norman keluar dari bilik dan terus berjalan pantas ke tandas. Hassan pun keluar dari bilik tapi untuk ke dapur. Sebelum ke dapur Hassan ternampak ibunya sedang menonton TV3.

"Hassan, nanti habiskan je lah nasi goreng kat dapur tu." Tegur Zaleha sambil duduk di sofa.

"Yelah mak, Hassan nak gosok gigi dulu." Ujar Hassan pula.

Sementara menunggu adiknya yang masih di dalam tandas, Hassan berjalan ke dapur. Hassan buka tudung saji dan melihat ada nasi goreng, telur mata lembu dan epok-epok. Hassan tak pasti epok-epok tersebut berintikan kentang atau sardin.

Hassan menutup semula tudung saji tersebut. Tiba-tiba kedengaran pintu tandas dibuka. Setelah Norman keluar, giliran Hassan pula menggunakan tandas.

"Jangam makan dulu, tunggu aku." Kata Hassan sebelum masuk ke tandas.

"Yelah.." Balas Norman.

Setelah gosok gigi dan basuh muka, Hassan dan Norman menikmati sarapan pagi di dapur. Hassan makan bertambah, begitu juga adiknya.

"Bang Hassan cuti lama tak?" Tanya Norman sambil mencedok nasi goreng.

"Cuti seminggu je. Kenapa?" Balas Hassan pula.

"Seminggu je la dapat main game." Kata Norman.

"Nanti kalau cuti lagi, aku baliklah main game lagi." Balas Hassan lagi.

"Kalau asyik main game je nanti belajar tak pandai. Tahun ni kau amik UPSR kan?" Sambung Hassan sambil memberi nasihat.

"Ayah bagi mainlah kalau cuti sekolah." Kata Norman mempertahankan dirinya.

"Nak cuti sekolah tunggulah cuti panjang bulan 12 nanti. Lepas UPSR nanti kau mainlah game puas-puas. Buat masa ni baik kau belajar rajin-rajin nanti dah besar dapat kerja boleh tolong mak dengan ayah." Kata Hassan yang berbentuk nasihat lagi.

"Cita-cita kau nak jadi apa?" Tanya Hassan selepas memberi nasihat.

"Aku nak jadi pelumba motor." Jawab Norman.

"Kau tau bawa motor ke?" Tanya Hassan.

"Tau.. Aku selalu bawak motor ayah." Jawab Norman.

"Jangan nak merempit pulak dah besar nanti." Nasihat Hassan.

"Ish, takdelah! Aku nak jadi macam Valentino Rossi." Kata Norman dengan penuh bersemangat.

"Siapa tu?" Tanya Hassan.

"Juara lumba motor dari Italy." Jawab Norman.

Hassan hanya tersengih mendengar jawapan tersebut. Diambilnya sebiji epok-epok lalu dimasukkan ke dalam mulutnya.

"Hmm.. sedapnya epok-epok kentang ni." Kata Hassan.

"Mak buat memanglah sedap tapi aku lagi suka epok-epok sardin." Kata Norman setelah mengunyah epok-epok kentang.

Setelah puas menikmati sarapan yang disediakan Zaleha, Hassan bersiap-sedia untuk mandi pula. Handphone bawah bantal diambil dan diperiksa sekiranya ada sms baru. Selepas kecewa tidak mendapat sms dari sesiapa barulah Hassan pergi mandi.

Selepas mandi Hassan banyak habiskan masa tengok TV. Bosan tengok TV, Hassan baca pula majalah Gempak di ruang tamu. Norman pula baca komik One Piece dalam bilik.

Setelah habis baca majalah Gempak, Hassan belek-belek beberapa naskhah majalah lain yang berada di rak buku. Hassan baca juga sikit-sikit majalah pasal resepi, motor, kereta dan agama sehingga masuk waktu Zuhur.

Selepas menunaikan solat Zuhur di Masjid Al-Hidayah, Hassan suruh adiknya pulang terlebih dahulu. Selepas melihat Norman berjalan kaki seorang diri, Hassan berjalan menuju kawasan Sekolah Tabika Kemas sebelah masjid tersebut.

Tiba-tiba Hassan teringatkan Farisha. Hassan keluarkan handphone dari kocek seluarnya.

Mungkin Isha dalam perjalanan sekarang ni. Entah-entah dia baru naik bas? Nak tanya dia ke tak?

Hassan mula berfikir-fikir sama ada nak call atau sms Farisha sekarang. Setelah beberapa minit membuat pertimbangan, Hassan nekad untuk sms tanya keadaan Farisha sekarang.

"Salam, Isha kat mana ni? Dh naik bas ke?"

Lima minit kemudian, baru Hassan dapat sms dari Farisha.

"Salam, aku dlm bas."

"Ko naik bas pkl berapa?"

"Bas bru je nk jln ni."

"Ko blk dgn sapa? Kwn 1 blik ke?"

"Ya."

"Nnt smpi larkin sapa amik? Ko naik taxi ke? Naik bas?"

Lima minit berlalu tetapi tiada jawapan dari Farisha. Hassan tetap setia menunggu lagi lima minit. Setelah cukup 15 minit, Hassan hantar lagi sms.

"Semoga ko trhndar dr smua jns bhy dlm prjlnan blk jb. Miss u isha.. Take k."

Kali ini jangankan 15 minit, dekat setengah jam pun tiada balasan sms dari Farisha. Hassan mula terfikir kalau sms yang  dihantar tadi menyakitkan hati Farisha.

Mungkin tak cukup kredit agaknya. Mungkin dia segan kalau kawan dia terbaca sms macam tu dari aku. Boleh jadi Isha simpan kredit untuk call ayah dia bila sampai Larkin agaknya.

Hassan memikirkan beberapa sebab munasabah yang menjadi faktor utama Farisha tidak balas sms tersebut. Dalam hati Hassan masih ada perasaan terhadap Farisha walaupun dia menjadi pasangan kekasih Zahid. Selagi Farisha belum berkahwin selagi itu masih ada peluang fikir Hassan.

Ditenung lama-lama handphone yang berada di tangan kanannya. Kemudian dimasukkan semula handphone tersebut ke dalam kocek seluarnya.

Kini mata Hassan tertumpu pada sekolah tadika di sebelah masjid. Hassan teringat kenangan manisnya bersama Farisha sewaktu berusia enam tahun. Kenangan pahit direjam batu oleh Azman, Rafi dan Fairuz pun masih terpahat dalam ingatannya.

Hassan tersenyum sendirian mengenangkan emaknya memarahi Azman, Rafi dan Fairuz pada ketika itu. Alangkah bagusnya jika zaman sewaktu umurnya enam tahun boleh diulang kembali. Hassan sedar mustahil masa boleh diundurkan tetapi itulah keinginannya sekarang.

Kenangan manis Hassan dan ibu bapanya ikut rombongan ke Pulau Tioman pun masih segar dalam ingatannya. Tiba-tiba Hassan teringat dulu ayahnya ada ambil beberapa gambar percutian di Pulau Tioman. Hassan berjalan pantas untuk pulang ke rumah.

Selepas memberi salam dan memasuki ke dalam rumah, Hassan terus mencari emaknya di dapur.

"Hassan pergi mana tadi?" Tanya Zaleha selepas mencuci pinggan.

"Tak ke mana pun. Mak, gambar yang kita pergi Pulau Tioman ada lagi tak?" Tanya Hassan.

"Ada, nanti mak keluarkan." Jawab Zaleha sambil berjalan memasuki biliknya.

Tidak sampai lima minit, emaknya keluar membawa sebuah album gambar-gambar lama.

"Nah, nanti simpan balik tau." Pesan Zaleha.

"Ye mak, terima kasih." Kata Hassan setelah mengambil album tersebut.

Hassan belek-belek album tersebut sambil duduk di atas sofa. Hassan tersenyum apabila melihat gambar dia dan Farisha sedang membuat istana. Tiba-tiba Hassan terasa dirinya dilanda perasaan nostalgia yang sangat kuat.

Wednesday, December 19, 2018

Pertahankan Bersama : Bab 1

Tahun 2004

"Isha, jom makan." Tegur Hassan.

"Aku dah janji nak makan dengan kawan aku kejap lagi. Lain kali ya Hassan?" Balas Farisha.

"Yelah." Jawab Hassan lalu terus beredar tinggalkan Farisha.

Setelah masuk usia 19 tahun, Hassan tetap ada perasaan terhadap Farisha. Bukan kali pertama Farisha tolak ajakannya untuk pergi makan bersama. Hassan rasa pelik tak mungkin Farisha terus berubah sedangkan baru sebulan jadi pelajar Universiti Putra Malaysia di Selangor.

"Apa salah aku?" Hati Hassan mula terdetik.

Hassan masuk bilik hostel lalu mencampak begnya di atas katil.

"Hassan, jom keluar makan. Aku dah lapar ni." Kata teman sebiliknya sambil sikat rambut.

"Takkan kita berdua je Johan? Amin dengan Shuib tak ikut ke?" Tanya Hassan.

"Nanti kita pergilah bilik dorang ajak makan sekali." Jawab Johan yang sudah selesai menyikat rambutnya.

"Yo Hassan, yo Johan, jomlah makan." Tiba-tiba muncul suara dari belakang Hassan.

"Eh, Shuib ke? Ingatkan penyanyi rap mana tadi." Kata Hassan setelah melihat kelibat Shuib dalam biliknya.

"Dah lapar sangat ke sampai datang sini? Kita orang baru nak pergi bilik kau Shuib." Kata Johan sambil tersengih.

"Perut aku dah keluar lagu hip hop ni." Kata Shuib melawak.

"Tunggu jap aku nak ke toilet. Pas tu kita keluar pergi makan sama-sama." Kata Hassan pula.

5 minit kemudian Hassan, Johan, Shuib dan Amin bergerak menuju ke foodcourt yang tidak jauh dari hostel mereka. Selepas 20 minit makan dan berborak kosong di foodcourt tersebut, bahu Hassan dicuit oleh Johan.

"Cuba kau tengok sana. Isha dengan siapa tu?" Suara Johan seolah berbisik.

Hassan terdiam melihat Farisha dengan lelaki yang tidak dikenalinya. Shuib dan Amin pun ikut menoleh nak tengok Farisha keluar dengan siapa.

"Zahid tu.. Aku kenal dia tu." Kata Amin.

"Masa sekolah menengah dulu pernah bercinta dengan Cikgu Milah ajar Sejarah." Sambung Amin.

"Habis tu satu sekolah tau ke?" Tanya Hassan.

"Mula-mula tu tak ramai yang tahu. Entah macam mana satu hari tu masa waktu balik sekolah ada sorang laki badan gempal pergi belasah Zahid. Ada dua orang lagi ikut laki gempal tu belasah Zahid sampai berdarah-darah. Laki gempal tu bagi warning kat Zahid jangan kacau tunang dia. Lepas tu satu sekolah tahu dia bercinta dengan Cikgu Milah. Kisah lama.. Dah kahwin pun Cikgu Milah dengan laki gempal tu." Jawab Amin panjang lebar.

"Mana kau tahu dia kahwin dengan laki gempal tu?" Tanya Hassan lagi.

"Laki gempal tu kawan pakcik aku rupanya. Aku ada ikut pergi majlis kahwin dia. Dari situlah aku tahu." Jawab Amin.

"Tak nak pulak dia bercinta dengan lecturer kat sini." Kata Hassan.

"Aku rasa dia takut kalau lecturer sini pun dah bertunang." Kata Amin sambil tergelak sikit.

Mata Hassan tertumpu pada Farisha yang kelihatan ceria dengan Zahid. Entah apa yang mamat tu ayat sampai Farisha asyik tersenyum lebar je. Sakit hati Hassan melihatnya.

"Jomlah kita gerak." Kata Hassan sambil berdiri.

Johan, Shuib dan Amin pun bangkit ikut Hassan.

Beberapa bulan kemudian pun, Farisha masih keluar dengan Zahid. Apabila Hassan tanya Farisha pasal status hubungannya dengan Zahid, jawapannya..

"Kitorang dah couple.." Jawab Farisha tanpa rasa bersalah.

"Couple? Janji kita masa dulu tu kau tak ingat ke?" Tanya Hassan.

"Itu kan cinta monyet masa sekolah dulu." Aku rasa kita lebih baik jadi kawan je." Jawab Farisha sambil tergelak kecil.

Terdiam Hassan mendengar jawapan tersebut. Tak tahu nak respon macam mana sebab hatinya masih ada perasaan terhadap Farisha.

"Kau pun carilah awek kat sini. Aku tengok banyak yang cantik-cantik." Kata Farisha lagi.

Tiba-tiba handphone Farisha berbunyi. Farisha keluarkannya dari bag dan tengok skrin handphone sebelum menjawab panggilan tersebut.

"Hello.. Ok nanti I datang.. Love u." Kata Farisha sebelum menyimpan semula handphone di tangannya.

"Zahid dah call nak ajak tengok wayang. Aku pergi dulu ya. Bye." Kata Farisha sebelum meninggalkan Hassan.

Hassan rasa macam nak menangis masa ni. Sakit hati dan kecewa yang teramat sangat. Apa ayat Zahid sampai Farisha nak couple dengan dia?

Waktu malam sebelum tidur pun, Hassan asyik teringat balik janji Farisha terhadapnya. Terngiang-ngiang di telinganya kata-kata Farisha.

"Pertahankan bersama cinta kita ya?"

Ayat tersebut buat Hassan rasa terikat dengan Farisha. Hassan rasa pelik macam mana Farisha boleh terpikat dengan Zahid? Kusut kepala Hassan memikirkannya.

Pada keesokan harinya, Hassan pergi berjumps lagi dengan Farisha. Hassan tak boleh terima untuk melepaskan Farisha ke tangan orang lain. Masih belum kahwin, masih ada peluang.

"Isha, kau bagilah aku peluang. Takkan tiba-tiba je kau boleh couple dengan Zahid?" Kata Hassan yang tak puas hati.

"Kan aku dah cakap semalam. Kita lebih baik kawan je." Nada Farisha agak serius.

"Baru berapa bulan kenal dia dah couple?" Tanya Hassan.

"Biarlah aku couple dengan dia. Kau carilah orang lain." Jawab Farisha.

"Apa yang hebat sangat pasal Zahid ni Isha?" Tanya Hassan lagi.

"Sebab aku handsome, kelakar dan berduit." Tiba-tiba muncul suara dari belakang Hassan.

Terkejut Hassan mendengar jawapan poyo tersebut. Ikutkan hati nak ditumbuk je mulut orang yang berkata macam tu sekarang.

"Muka kau macam tak puas hati je?" Tanya Zahid yang kini berdiri sebelah kiri Farisha.

"Sudahlah u.. Tak mau gaduh-gaduhlah." Kata Farisha lembut.

"Farisha dah banyak cerita pasal kau kat aku. Dia anggap kau macam abang je." Kata Zahid serius.

"Kalau jadi apa-apa kat Isha, siap kau." Kata Hassan dengan tegas.

"Itu kau tak payah sibuk. Tahulah aku nak jaga dia macam mana."

"Ah, kau cakap macam dia bini kau je sekarang."

"Sebelum dia jadi bini aku pun, aku tetap nak jaga dia. Kau tak payah sibuklah."

"Sudahlah, malas aku nak layan kau!"

"Aku pun tak hingin nak layan kau."

Hassan malas nak terus bertekak lagi  lalu terus beredar tinggalkan Zahid dengan Farisha. Kalau ikutkan amarah dalam hati Hassan, nak dipecahkan kepala Zahid. Sepanjang hidup Hassan, ini kali pertama dia jumpa orang yang berlagak mengaku diri handsome, kelakar dan berduit.

Sewaktu makan tengah hari, Hassan luahkan rasa marahnya pada Johan, Amin dan Shuib.

"Aku tak sangka Isha anggap aku macam abang je. Zahid pulak mulut macam longkang. Ikutkan hati aku pecah jugak mulut Zahid ni." Kata Hassan.

"Mulut Zahid memang macam tu dari sekolah menengah." Kata Amin pula.

"Selalu bergaduh jugak masa sekolah dulu. Cara dia bercakap tu memang bikin panas." Kata Amin lagi.

"Rileklah bro, lupakan jelah Isha tu." Kata Shuib pula.

"Susahlah Shuib, aku dah lama cintakan Isha." Ujar Hassan.

"Baik kau cari awek lain. Bunga bukan sekuntum.." Kata Johan.

"Masalahnya aku tak boleh lupakan Isha. Kitorang dulu dah janji nak pertahankan cinta bersama sampai bila-bila. Korang takde idea ke macam mana aku nak dapatkan Isha balik?" Kata Hassan yang masih cintakan Farisha.

"Kalau aku, baik cari lain je." Pendapat Johan.

"Aku pun." Kata Shuib menyokong pendapat Johan.

"Kau cubalah buat surprise bagi hadiah masa birthday dia." Pendapat Amin pula.

"Betul jugak cakap kau Amin. Hadiah apa aku nak bagi dia nanti?" Tanya Hassan.

"Macam-macam boleh bagi. Tudung ke, kasut ke, jam tangan ke.. Hm apa lagi ya? Kau fikir sendirilah apa yang dia suka. Kau dah lama kenal dia kan?" Jawab Amin.

"Entahlah Amin.. Aku tak tahulah kalau dia nak kat aku lagi. Entah macam mana dia boleh suka mamat poyo tu." Kata Hassan seolah-olah putus asa.

"Apa-apa hal kau berkawan je dulu dengan Isha. Mana tahu nanti dia nak couple dengan kau pulak?" Kata Amin yang cuba memberi semangat kepada Hassan.

Pada waktu malam sebelum tidur, Hassan masih terbayang-bayang wajah Farisha. Hassan masih tak puas hati Farisha boleh couple dengan Zahid. Baru 4 bulan kenal terus couple?

Farisha anggap aku macam abang je? Bertahun-tahun bercinta tiba-tiba dia boleh anggap aku macam abang je? Timbul beberapa persoalan dan pertikaian dalam kepala Hassan sekarang.

Makin difikirkan pasal Farisha makin kusut kepala Hassan. Walaupun Farisha dah couple dengan Zahid tapi Hassan tetap tak dapat lupakan Farisha.

Apabila tiba cuti penggal semester, Hassan sms Farisha.

"Salam, Isha dh bli tkt blk kmpg?"

Hassan tidak ketinggalan sms guna ayat kurang huruf. Lima minit kemudian, handphone Nokia 3310 milik Hassan berbunyi "Teteeettt.. Teteeeet.."

"Salam, ko blk dulula. Aku blk sndiri je nnt."

Hassan menekan laju butang-butang pada telefon bimbitnya.

"Blk dgn akulah nnt aku blikn tkt utk ko sekali."

Dekat 10 minit Hassan tunggu barulah dengar bunyi "Teteeettt... Teteeeet..."

"Xpyh blikn nnt aku bli sndiri je."

Sekali lagi Hassan menekan butang-butang pada telefon bimbitnya untuk membalas sms Farisha.

"Ok bila ko nk bli tkt? Nk blk kmpg bila?"

Jangankan 10 minit, dah dekat setengah jam pun handphone Hassan senyap je. Hassan dah mula rasa tak senang duduk. Kredit dia habis ke? Fikir Hassan sendirian.

Patut ke aku call dia? Nak call ke tak nak? Kenapalah kau dingin dengan aku Isha?

"Lamanya kau tenung handphone?" Tanya Johan.

"Ish, terkejut aku!" Respon Hassan sambil  kedua-dua bahunya terangkat sedikit.

"Kau message awek ke?" Tanya Johan.

"Farisha." Jawab Hassan ringkas.

"Oohhh.." Respon Johan terangguk-angguk sedikit kepalanya.

"Kau nak balik Johor bila?" Tanya Johan lagi.

"Aku balik esok." Jawab Hassan.

"Aku pun balik esok jugak. Nanti esok pagi kita gerak sama-samalah." Kata Johan.

"Ok boleh je." Kata Hassan sambil melihat handphone di tangannya.

Pada keesokan paginya, Hassan dan Johan keluar dari hostel bersama. Amin dan Shuib pula nak balik tengahari. Hala tuju Johan ke Kuala Lumpur manakala Hassan pula ke Johor.

Dalam bas pun, Hassan masih teringatkan Farisha. Ditenungnya handphone yang berada di tangan kanan. Hassan masih terfikir sama ada dia perlu call atau sms Farisha sekarang.

Hassan betul-betul nak sms Farisha tapi dipendamkan sahaja keinginannya itu. Setelah Hassan simpan handphone, dia pejam mata untuk melelapkan dirinya. Namun, wajah Farisha masih terbayang-bayang dalam kepala Hassan.

Setelah lima jam setengah perjalanan dari Stesen Puduraya, barulah Hassan tiba di Stesen Larkin. Hassan ambil keputusan untuk menaiki teksi sahaja walaupun menyedari tambang teksi jauh lebih mahal dari tambang bas. Tidak susah untuk mendapatkan teksi di sini, tahu-tahu sahaja Hassan dah dapat naik satu daripada teksi yang berderet-deret di Stesen Larkin.

"Nak pergi mana?" Tanya pakcik teksi.

"Taman daya." Jawab Hassan.

"Oohhh pakcik pun tinggal kat Taman Daya." Kata pakcik teksi dengan nada ceria.

"Tapi awak nak pergi Taman Daya belah mana?" Tanya pakcik teksi lagi.

"Jalan Bertam dekat Masjid Hidayah." Jawab Hassan.

"Ooohh baguslah rumah awak dekat masjid. Pakcik duduk kat Jalan Rumbia pun tak jauh dari masjid." Ujar pakcik teksi.

Hassan hanya tersenyum mendengar jawapan tersebut. Suasana senyap seketika melainkan bunyi enjin dan sedikit bunyi aircond kereta teksi pakcik.

"Umur awak berapa tahun?" Tanya pakcik setelah lima minit senyap.

"19 tahun." Jawab Hassan ringkas.

"Belajar lagi ke?" Tanya pakcik lagi.

"Ya, pakcik. Saya sambung belajar kat UPM Selangor." Terang Hassan.

"Eh, samalah dengan anak pakcik! Dia pun belajar kat UPM. Dah setahun dia kat sana. Baru semalam pakcik amik dia kat Larkin." Kata pakcik teksi.

"Anak pakcik yang mana satu ya? Mungkin saya kenal?" Tanya Hassan pula.

"Nama dia Amira. Awak kenal ke?"

"Amira? Maaflah saya tak kenal, lagi pun saya tak sampai setahun kat UPM tu."

"Ooohh takpe yang penting masa belajar, belajar betul-betul. Jangan macam pakcik dulu sekolah pun tak habis."

Tidak sampai setengah jam perjalanan, teksi yang dinaiki Hassan pun tiba di depan rumahnya. Setelah membayar duit tambang, Hassan keluar dari teksi tersebut. Sebelum pakcik teksi itu beredar, Hassan sempat tengok pintu depan teksinya tertulis 'Mazlan bin Hamdan'.

"Assalamualaikum!" Ucap Hassan sambil membuka pintu pagar rumahnya yang tidak berkunci.

"Wa alaikumussalam!" Jawab seorang budak lelaki gempal yang sedang menongkat basikalnya.

"Mak, Bang Hassan dah balik!" Jerit budak tersebut sambil berlari masuk ke dalam rumah.

Hassan hanya tersengih melihat respon adiknya. Setelah membuka kasut, Hassan masuk ke dalam rumah.

"Bang Hassan, mak panggil makan." Pelawa adik Hassan.

"Kau dah makan ke Norman?" Tanya Hassan setelah meletakkan beg dalam biliknya.

"Belum." Jawab Norman lalu berjalan ke dapur.

"Hassan, meh la makan sekali." Pelawa Zaleha.

Hassan terus basuh tangan kemudian ambil tempat duduk di meja makan.

"Hassan bertolak pukul berapa dari sana?" Tanya Zaleha.

"Pukul 10 mak." Jawab Hassan sambil cedok nasi.

"Bang Hassan baca doa makan." Kata Norman sambil tadah tangan.

"Bismillahirrahmanirrahim.. Allahummabariklana fima Razak tana wa qina 'azabannar." Bacaan doa makan dari Hassan.

"Aamiiin" Ucap Norman sambil menekup mukanya sendiri.

Hassan ambil lauk ayam masak merah lalu diletakkan di pinggan nasinya. Kemudian Hassan ambil pula lauk sayur kobis sebanyak tiga sudu besar. Hassan makan dengan penuh berselera.

"Hassan dah solat Zuhur ke?" Tanya Zaleha.

"Dah, tadi bas ada berhenti kat mana entah. Hassan solat jamak Zuhur dengan Asar sekali." Jawab Hassan lalu sambung suap nasi dan mengunyah.

"Bang Hassan nanti kita main game PS2 ya?" Norman tiba-tiba mencelah.

"Main game malam sikit ya. Mak nak tengok TV kejap lagi." Tegur Zaleha.

"Bang Hassan nanti malam kita main Tekken 4 tau?" Kata Norman.

"Yelah tunggu malam nanti." Balas Hassan.

Saturday, December 15, 2018

Pertahankan Bersama : Permulaan

Tahun 1991.

Walaupun baru berusia enam tahun, Hassan berjalan kaki seorang diri ke sekolah pada hari kedua. Hanya hari pertama persekolahan sahaja Hassan ke sekolah ditemani ibunya. Sampai sahaja di Sekolah Tadika Kemas, Hassan terus tanggalkan kasut sebelum memasuki kelas.

Setelah sebulan memasuki alam persekolahan, berlaku permusuhan antara Hassan dan Azman. Farisha selalu berbual dan bermain dengan Hassan sejak dari hari kedua persekolahan. Dalam banyak-banyak perempuan dalam kelas, Farisha merupakan budak perempuan kulit cerah yang paling cantik.

Bermula dengan ejek-mengejek dari Azman. Ditambah pula dengan dua orang kawan sekepalanya iaitu Rafi dan Fairuz juga turut serta mengejek Hassan. Semakin hari semakin sakit hati Hassan diejek setiap kali dia berbual atau bermain dengan Farisha di sekolah.

Pertama kali bergaduh, Hassan berjaya menumbuk dan menendang Azman sehingga menangis. Pergaduhan antara Hassan dan Azman berjaya dileraikan apabila Cikgu Zainab masuk campur. Dengan berat hati Hassan bersalaman dengan Azman setelah ditegur oleh Cikgu Zainab.

Pada hari berikutnya Hassan pula menangis apabila Azman, Rafi dan Fairuz baling batu ke arahnya sewaktu balik dari sekolah. Emak Hassan yang dalam perjalanan ke kedai runcit ternampak anaknya menangis apabila direjam batu.

"Hoi, budak kurang ajar!"

Emak Hassan berjalan laju ke arah Hassan yang sedang menangis. Muka Puan Zaleha masam mencuka melihat ketiga-tiga budak jahat yang menyakiti anaknya. Hassan pula masih menangis sambil memegang belakang kepalanya yang sakit.

"Apsal kau bertiga baling batu kat dia? Kau bertiga ni anak siapa hah? Kurang ajar sangat nak baling batu kat anak aku!"

Emak Hassan bercekak pinggang melihat ke arah Azman, Rafi dan Fairuz yang melarikan diri. Tangisan Hassan semakin reda setelah melihat emaknya memarahi ketiga-tiga budak hodoh yang jahat itu.

Keesokan harinya emak Hassan memarahi Azman, Rafi dan Fairuz dalam kelas. Cikgu Zainab dan semua budak-budak tadika jadi saksi kemarahan Puan Zaleha.

"Orang pergi sekolah sebab nak belajar. Bukannya baling batu kat anak aku! Kau bertiga nak jadi bodoh ke nak jadi pandai?" Zaleha menyinga depan tiga budak yang masih mendiamkan diri.

"Jawablah, nak jadi bodoh atau pandai?!" Sergah Zaleha.

"Pandai.." Serentak dan perlahan sahaja jawapan dari Azman, Rafi dan Fairuz.

"Lain kali nak baling batu kat Hassan lagi tak?" Tanya Zaleha.

"Tak.." Sekali lagi jawapan serentak dari mereka bertiga.

"Kalau baling batu kat Hassan lagi makcik lempang kau bertiga, faham!" Gertak Zaleha.

"Faham.." Jawab mereka bertiga serentak.

"Azman, Rafi, Zainal.. Pergi salam minta maaf dengan Hassan sekarang." Tiba-tiba Cikgu Zainab mencelah.

Tanpa buang masa mereka bertiga terus hulur tangan dan minta maaf kepada Hassan secara bergilir. Zaleha terus datang menghampiri Cikgu Zainab.

"Tolong perhatikan anak saya kalau kena kacau lagi ya?" Pesan Zaleha kepada Cikgu Zainab

"Insha Allah nanti saya tolong tengok-tengokkan anak akak." Jawab Cikgu Zainab.

Setelah habis sesi bermaaf-maafan, Hassan salam dan cium tangan emaknya sebelum pergi ke tempat duduknya dalam kelas.

Selepas kejadian tersebut, Azman dan dua orang kawannya langsung tak bertegur dengan Hassan. Mengusik atau mengejek jauh sekali. Hassan pula seronok ke sekolah sebab dapat berbual dan bermain dengan Farisha tanpa gangguan dari mereka beetiga lagi.

Permainan yang paling Hassan dan Farisha suka ialah main tanah liat. Tanah liat tersebut dibentuk jadi rumah, kereta, bunga dan macam-macam lagi berdasarkan imaginasi budak 6 tahun. Pernah beberapa kali Azman tunjukkan motor tanah liat kepada Farisha tapi tak diendahkan.

"Isha tengoklah motor kita buat ni. Vroom... Vrooom!!" Azman berkata sambil menggerakkan motor tanah liatnya ke depan dan ke belakang.

Farisha menjeling ke arah Azman lalu memandang semula ke arah muka Hassan. Azman masih lagi tak berganjak. Motor tanah liat di tangannya terus digerakkan dengan bunyi "vroom vroom" dari mulutnya.

Setelah dua minggu kemudian berlalu, Farisha tetap tak layan Azman. Walaupun Azman dibantu oleh Rafi dan Fairuz untuk menarik perhatian Farisha tetapi cubaannya tetap gagal. Bersusun motor tanah liat berhampiran Farisha tetapi dia tetap nak bermain dengan Hassan juga.

Masuk minggu ketiga pada bulan Febuari, Farisha berlari ke arah Hassan yang sedang menyusun buku-buku cerita di rak buku. Hassan toleh lalu ternampak Farisha ketawa kecil sambil menyembunyikan kedua tangannya di belakang.

"Cuba teka kat belakang kita ada apa?" Tanya Farisha sambil tersenyum.

"Gula-gula?" Jawab Hassan yang kurang yakin.

"Salah..." Balas Farisha yang masih tersenyum.

"Coklat?" Jawab Hassan buat kali kedua yang masih kurang yakin.

"Coklat apa?" Tanya Farisha.

"Koko Jelly." Jawab Hassan dengan yakin.

"Bukan." Kata Farisha sambil geleng kepala.

"Cloud 9!" Kata Hassan dengan lebih yakin.

"Betul." Jawab Farisha sambil ketawa kecil.

"Kita ada empat bungkus ni. Awak dua kita dua." Kata Farisha sambil menghulurkan dua bungkus coklat Cloud 9 kepada Hassan.

"Terima kasih." Kata Hassan sambil mengambilnya dari tangan Farisha.

"Hei, kita bagi awak je! Kenapa awak bagi Hassan?" Tiba-tiba Azman muncul.

"Eh, biarlah kita nak bagi dia!" Marah Farisha.

"Mana boleh. Kita bagi Cloud 9 kat awak je." Kata Azman yang tidak mahu mengalah.

"Eleh, biarlah!" Kata Farisha sambil berjalan menghampiri Hassan.

"Bagi balik Cloud 9 tu!" Kata Azman sambil menghulurkan tangannya.

"Mana boleh minta balik? Mak kita kata siapa dah bagi lepas tu minta balik namanya buruk siku." Kata Farisha yang kini berdiri sebelah kiri Hassan.

"Mana ada buruk siku? Kita mandi sebelum pergi sekolah tau. Siku kita tak buruk pun." Kata Azman sambil menunjukkan kedua-dua sikunya ke arah Farisha.

"Budak buruk siku." Kata Farisha sambil jelirkan lidah.

"Kenapa dia buruk siku?" Tiba-tiba seorang budak perempuan kurus berkulit sawo matang bertanya.

"Tengok Azman ni Sofea. Dah bagi coklat kat kita lepas tu dia mintak balik." Jawab Farisha sambil menudingkan jari ke arah Azman.

"Eeeii.. Tak malu.. Dah bagi mintak balik." Respon Sofea sambil melihat ke arah Azman.

"Budak buruk siku!" Jerit Hassan.

"Buruk siku!" Sahut Farisha sambil tuding jari ke arah Azman.

"Azman buruk siku!" Tambah Sofea.

Tak semena-mena satu kelas ikut jerit buruk siku. Azman cuba menafikan tetapi satu kelas tetap bergema dengan jeritan "Buruk siku." Mata Azman berair cuba menahan dari menangis.

Azman berlari ke arah Rafi dan Fairuz. Rafi dan Fairuz pun bukannya dapat buat apa-apa untuk mempertahankan Azman.

"Hei, apa jerit-jerit buruk siku ni?" Tinggi suara Cikgu Zainab sambil mencekak pinggang.

Satu kelas terdiam. Cikgu Zainab masih lagi berdiri cekak pinggang memerhatikan setiap wajah budak-budak dalam kelas.

"Cikgu tadi Azman bagi kita coklat lepas tu dia nak minta balik. Mak kita kata orang macam tu namanya buruk siku." Aduan dari Farisha bagi menjelaskan keadaan sebenar.

"Azman, betul ke awak bagi coklat kat Farisha lepas tu minta balik?" Tanya Cikgu Zainab.

Azman hanya angguk kepala tanpa berkata apa-apa. Cikgu Zainab mengeluh kecil sambil geleng kepala.

"Azman, lain kali kalau dah bagi jangan minta balik. Faham?" Tegur Cikgu Zainab.

"Faham.." Jawab Azman.

"Lain kali saya tak nak dengar jerit-jerit buruk siku lagi. Faham semua?" Kata Cikgu Zainab terhadap semua budak-budak dalam kelas.

"Faham cikgu!" Serentak jawapan mereka.

Setelah habis waktu sekolah, Hassan tak sabar nak balik rumah. Hassan rasa teruja sangat nak ceritakan kejadian tersebut kepada emaknya.

"Setakat coklat macam tu pun nak minta balik. Mak buat kek coklat lagi sedap tau! Nanti mak buat, esok Hassan boleh kongsi dengan kawan-kawan." Respon Zaleha selepas mendengar cerita dari anaknya.

"Yeaaahhh!" Hassan menjerit keriangan.

Pada hari berikutnya, Hassan bawa sekotak kek coklat yang telah dipotong-potong kecil. Seperti yang disuruh emaknya, Hassan berkongsi kek coklat tersebut dengan Farisha, Sofea dan beberapa orang kawan yang sempat mengambilnya.

"Sedapnya kek coklat ni." Kata Farisha selepas menggigit sedikit kek tersebut.

"Beli kat mana ni?" Tanya Sofea.

"Mana ada beli. Mak kita yang buat kek coklat ni." Jawab Hassan.

"Pandainya mak awak buat kek coklat." Kata Farisha sambil tersenyum lebar.

"Kek coklat ada lagi?" Tiba-tiba budak lelaki gempal tanya.

"Dah habislah Nazim." Jawab Hassan.

"Bukan awak dah amik ke tadi?" Tanya Farisha pula.

"Memang dah amik tapi nak lagi. Sedaplah kek coklat tak puas makan." Jawab Nazim sambil tepuk perlahan bahu kanan Hassan.

Selepas tamat waktu sekolah, Hassan tak sabar nak balik rumah. Hatinya betul-betul teruja nak ceritakan pasal kek coklat emaknya dipuji kawan-kawan.

"Kan mak dah kata. Kek coklat mak buat memang sedap." Respon Zaleha selepas mendengar cerita anaknya.

"Esok mak boleh buat lagi?" Tanya Hassan.

"Boleh je mak buat selagi mak sihat, selagi bahan-bahan cukup." Jawab Zaleha.

"Yeaaayyyyy!" Hassan menjerit keriangan sambil berlari masuk bilik.

Walaupun kek coklat amat digemari Hassan dan kawan-kawannya tetapi bukan setiap hari Hassan dapat bawa ke sekolah. Ada masa tertentu bahan-bahan kek coklat  di rumah habis jadi Hassan makan sahajalah hidangan yang disediakan pihak sekolah tadika.

Pada awal bulan September 1991, Cikgu Zainab bagi surat kepada semua budak-budak dalam kelas.

"Balik rumah nanti bagi surat tu pada mak atau ayah kamu." Kata Cikgu Zainab.

"Surat apa ni cikgu?" Tanya Nazim sambil angkat tangan kanannya.

"Surat minta kebenaran untuk bawa kamu semua ke Pulau Tioman bulan depan." Jawab Cikgu Zainab.

"Yeaaayyyy!!"

Bergema satu kelas dengan sorak gembira budak-budak umur enam tahun. Cikgu Zainab hanya tersenyum melihat reaksi semua murid-muridnya. Malah ada yang terloncat-loncat dan berlari keliling kelas.

"Baiklah semua jangan bising!" Suara Cikgu Zainab tiba-tiba jadi tegas.

Terdiam satu kelas kecuali Azman yang masih berlari main kejar-kejar dengan Rafi dan Fairuz.

"Azman, Rafi, Fairuz!" Kata Cikgu Zainab sambil mencekak pinggang.

Mereka bertiga masih lagi berlari main kejar-kejar.

"Kamu bertiga tak nak pergi Pulau Tioman ke?" Tanya Cikgu Zainab.

"Nak." Jawab mereka lalu berhenti berlari.

"Kalau nak ikut, kamu jangan nakal-nakal faham?" Pesan Cikgu Zainab.

"Faham cikgu." Jawab mereka serentak.

Setelah tamat waktu persekolahan, Hassan balik rumah ditemani Farisha. Jarak rumah Farisha dengan rumah Hassan tidaklah begitu jauh. Selang 6 buah rumah sahaja.

"Isha, awak nak pergi Pulau Tioman ke?" Tanya Hassan.

"Mestilah nak." Jawab Farisha sambil tersenyum.

"Nanti kita boleh main buat istana guna pasir." Sambung Farisha lagi.

"Mesti best kan? Nanti kita buat istana besar-besar ya?" Kata Hassan pula.

"Mestilah kita buat besar-besar lepas tu kita tanam awak dalam pasir." Kata Farisha sambil ketawa kecil.

"Buat apa tanam? Kita belum mati lagilah."

"Tak matilah awak. Kepala awak kat luar, badan awak je kena tanam."

"Best ke main tanam-tanam?"

"Mestilah best."

Sedang mereka berdua jalan beriringan, tiba-tiba datang seorang pakcik. Seorang lelaki bermisai tebal, berkulit coklat, baju t-shirt berkolar belang-belang hitam biru dan memakai seluar jean biru lusuh.

"Adik nak gula-gula tak?" Tanya pakcik misai tebal sambil menghulurkan gula-gula Sugus warna kundang.

Farisha baru nak ambil tetapi tangannya ditahan oleh Hassan.

"Mak kita kata jangan amik gula-gula dari orang tak kenal." Kata Hassan.

"Pakcik kenal mak kau." Kata pakcik tersebut sambil tersengih.

"Siapa nama mak kita?" Tanya Hassan.

"Tak payah tanyalah, pakcik kenal mak kau berdua. Mak kau berdua orang sini jugak kan?" Jawab pakcik tersebut.

"Pakcik tak tahu nama mak kita. Jomlah kita pergi." Kata Hassan sambil menarik tangan Farisha.

Hassan dan Farisha berjalan sepantas mungkin untuk menjauhkan diri dari pakcik tersebut.

"Hei, tunggu dulu!" Kata pakcik tersebut sambil berjalan menghampiri mereka.

"Lari Isha!" Jerit Hassan.

Farisha pun lari ikut belakang Hassan. Mereka berhenti lari setelah sampai depan rumah Hassan. Hassan melihat-lihat untuk memastikan pakcik tersebut tidak mengejar mereka.

"Hassan, tengok-tengok apa tu?" Tanya Zaleha.

"Mak tadi ada pakcik jahat nak bagi gula-gula Sugus." Jawab Hassan.

"Pakcik jahat? Kat mana Hassan jumpa dia?" Tanya emaknya lagi.

"Kat sana tu." Jawab Hassan sambil tunjukkan arah kepada emaknya.

"Masa Hassan tanya pakcik tu nama mak, dia tak dapat jawab. Terus Hassan dengan Isha lari." Sambung Hassan.

"Bagus, lain kali kalau ada orang tak kenal nak bagi gula-gula ke, air kotak ke, apa-apa ke.. Jangan amik tau? Lari je." Balas Zaleha.

"Ye mak, nanti kita lari je macam tadi." Jawab Hassan dengan penuh semangat.

"Hassan, kita balik dulu tau." Tiba-tiba Farisha mencelah.

"Ok, nanti esok kita jumpa lagi." Kata Hassan sambil melambaikan tangan.

"Baik-baik jalan nak." Tegur Zaleha terhadap Farisha.

Pada pertengahan bulan Oktober 1991, Hassan ikut rombongan sekolah ke Pulau Tioman. Hassan ditemani oleh kedua ibu bapanya. Begitu juga dengan Farisha dan beberapa budak yang lain.

Ada yang datang dengan ibu atau ayahnya sahaja. Ada yang tak dapat datang tapi Hassan tak ambil peduli sangat. Perkara yang paling penting bagi Hassan buat masa ini ialah dapat buat istana pasir dengan Farisha.

Perjalanan dari Johor Bahru ke Jeti Mersing mengambil masa kira-kira tiga jam. Cikgu Zainab dan murid-murid sekolah tadika serta ibu bapa terpaksa tunggu hampir satu jam sebelum dapat naik feri ke Pulau Tioman. Dalam masa satu jam menunggu, setiap orang diberikan roti sandwich telur dan air kotak oleh Cikgu Zainab dan dua orang pembantunya.

Menaiki feri ke Pulau Tioman pula mengambil masa hampir dua jam. Setelah sampai di tempat penginapan, makanan telah dihidangkan. Semua pengunjung yang kelaparan betul-betul menikmati hidangan tersebut tanpa banyak kerenah.

Bermalam di chalet adalah pengalaman yang menarik bagi Hassan. Pertama kali Hassan menikmati juadah udang dan sotong panggang dalam hidupnya.

"Kalau harapkan abang, tak tahulah bila baru kita dapat bercuti Pulau Tioman ni." Kata Zulkifli.

"Janji kita dapat bercuti kat sini bang." Kata Zaleha pula.

"Mak, best kan dapat pergi sini?" Tiba-tiba Hassan mencelah.

"Best Hassan." Jawab Zaleha ringkas.

"Lagi best kalau Hassan dapat adik lepas ni." Kata Zulkifli sambil tersengih.

"Ish, apalah abang ni!" Suara Zaleha seolah berbisik tapi tegas.

"Dapat adik?" Tanya Hassan terpinga-pinga.

Belum sempat emak dan ayah Hassan menjawab tiba-tiba Farisha datang.

"Hassan, nak main bunga api tak?" Tanya Farisha.

"Nak!" Jawab Hassan keriangan.

"Mak ayah! Hassan nak pergi main bunga api boleh?" Tanya Hassan yang sudah pun berdiri sebelah kanan Farisha.

"Boleh tapi jangan main mercun tau?" Pesan Zaleha.

"Kalau mak dengan ayah takde kat sini nanti Hassan balik chalet sendiri ya? Ingat tak ayah dah ikat kain hijau kat tiang chalet petang tadi?" Pesan Zulkifli pula.

"Ya, Hassan ingat ayah. Nanti Hassan balik sendiri je." Jawab Hassan.

Tanpa buang masa, Hassan dan Farisha berjalan menuju ke arah tepi pantai. Dari cahaya bunga api, Hassan dapat lihat Nazim dan Sofea sedang asyik bermain bunga api.

"Hassan! Isha! Ayah kita bawa banyak bunga api!" Kata Nazim sambil menghayunkan tangan kanannya yang sedang memegang bunga api.

Setelah jam menunjukkan hampir 11.00 malam, ayah Nazim suruh sambung main bunga api esok sahaja. Maka tamatlah sesi main bunga api pada malam pertama Hassan dan kawan-kawannya di Pulau Tioman.












Pertahankan Bersama Bab 5

2004 Sewaktu Hassan di dalam perpustakaan, dia ternampak Farisha dan Zaidi duduk berdua-duaan. Walaupun terasa cemburu tetapi Hassan cuba...